Search This Blog

Friday, October 28, 2011

Sindiket cipta kartrij palsu tumpas





SEREMBAN 27 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu sindiket menghasilkan kartrij pencetak komputer tiruan berjenama setelah merampas peralatan bernilai RM2 juta dalam lima serbuan yang dilakukan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah hari Ahad lalu itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK di lima premis berhampiran Taman Sri Manja selepas menerima aduan daripada wakil syarikat pengadu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas 5,000 unit kartrij tiruan pelbagai jenama seperti 'Hewlett-Packard' (HP), 'Epson', 'Canon' dan 'Samsung' yang dipercayai dihasilkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
"Dalam serbuan tersebut, pihak kami turut merampas lapan buah mesin bagi menghasilkan serta mengisi serbuk toner, mesin pencetak logo dan pelekat serta mesin penghasilan kartrij.
"Pihak kami percaya lokasi serbuan menjadi tempat penghasilan serbuk toner, pencetakan kotak dan pelekat, stor simpanan, pejabat urusan termasuk stor penyimpanan kartrij yang siap dibungkus," katanya.
Mohd. Roslan berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Penyimpanan KPDNKK di Taman Industri Arab-Malaysia, Nilai dekat sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang disyaki pemilik perniagaan dan lima premis terbabit.
"Siasatan lanjut mendapati pemilik tersebut telah menjalankan operasinya hampir dua tahun," kata Mohd. Roslan yang turut memberitahu pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menggempur lima premis terbabit.
Kes ini, kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Perihal Dagangan 1972.
Jika disabit kesalahan, pesalah akan didakwa di bawah Seksyen 18(1) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi orang perseorangan, manakala bagi badan korporat, pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (2) dengan hukuman denda tidak melebihi RM250,000," katanya.

No comments:

Post a Comment