Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Seludup minyak guna treler



SH:

BUKIT KAYU HITAM- Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya menghidu taktik terbaru digunakan sindiket penyeludupan minyak subsidi yang kini giat menggunakan treler sebagai pengangkutan menyeludup keluar minyak itu dari negara ini.

Terbaru usaha sindiket menggunakan treler tanpa muatan menggunakan tangki tambahan untuk mengisi diesel dan petrol untuk diseludup ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh UPP Bukit Kayu Hitam dalam satu tangkapan yang dibuat di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand, jam 11 pagi, kelmarin.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Mohd Zunaidi Abdullah berkata, atas maklumat orang awam pihaknya telah menahan sebuah treler bernombor pendaftaran Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan kerana terdapat kesan minyak yang bocor di bahagian belakang kenderaan terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati treler tanpa muatan yang menuju ke arah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu mempunyai empat tangki tambahan yang diletakkan di bahagian bawah treler manakala dua tangki tambahan lagi diletakkan di bahagian kepala treler berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 2,000 liter diesel dimuatkan dalam empat tangki tambahan di bahagian bawah treler berkenaan manakala 3,000 liter di tangki bahagian belakang kepala treler selain tujuh tong berisi 210 liter petrol yang diletakkan di dalam treler.

“Semua diesel dan petrol yang dirampas bernilai RM9,378 selain treler bernilai RM80,000, manakala seorang lelaki warga Thai berusia 43 tahun yang juga pemandu treler turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, ini merupakan taktik terbaru penyeludup menggunakan kenderaan itu menghantar barang dipercayai getah ke negara ini sebelum membawa keluar minyak ke negara jiran dalam perjalanan pulang.

“Kes ini akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Zunaidi berkata, sejak kebelakangan ini sindiket penyeludupan kerap menggunakan kenderaan perdagangan seperti treler untuk menyeludup keluar minyak subsidi.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment