Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Pusat judi dalam apartmen



KEPONG – Pusat siber judi online dikesan beroperasi di dua unit rumah yang disewa di Apartmen Desa 1 dekat sini.

Tinjauan Sinar Harian menemui penduduk apartmen berkenaan yang rata-ratanya bimbang dengan fenomena baru tersebut yang dilihat mampu mempengaruhi sesiapa sahaja untuk terjebak dalam gejala berjudi di apartmen berkenaan.

Penduduk, Justin Musa, 42, berkata, masalah yang berlarutan sejak Februari tahun ini dilihat semakin menjadi-jadi.

“Kita telah membuat aduan kepada pihak berkuasa namun sehingga kini pusat siber judi tersebut masih terus beroperasi dan paling menggusarkan kami di sini ialah pusat tersebut turut dikunjungi oleh remaja yang terdiri daripada pelajar sekolah,” katanya.

Menurutnya, polis sebelum ini ada melakukan serbuan namun ia masih tidak dapat menghentikan sepenuhnya operasi pusat siber judi terbabit.

Seorang lagi penduduk, Mohd Arroq Shah, 41, berkata, penduduk sering terganggu dengan bunyi bising warga asing yang mengunjungi pusat tersebut.

“Bayangkan pusat tersebut yang dibuka 24 jam dikunjungi warga asing pada waktu malam hingga pagi menyebabkan tidur penduduk di dua blok di sini terganggu malah aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak pernah dipedulikan,” katanya.

Paling malang apabila ada di antara premis haram itu turut menawarkan minuman keras kepada pelanggannya.

Tinjauan Sinar Harian ke sebuah premis terbabit mendapati rumah yang disewa sudah diubahsuai sepenuhnya termasuk sistem pendawaian elektrik yang dibuat secara haram yang dilihat mampu menyumbang kepada litar pintas yang boleh menjadi punca kebakaran.

Malah terdapat kira-kira 50 unit komputer yang sebahagiannya diletakkan sederet di ruang tamu dan dua bilik utama di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat penduduk.

“Saya juga berharap agar penduduk dapat melaporkan segera kes sebegini kepada polis untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan juga akan dibuat di kawasan perumahan terbabit bagi memastikan ia bebas daripada premis haram seperti itu pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment