Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Penyeludup kereta Brunei tumpas

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak:

HAMZA Taib memeriksa beberapa buah kereta mewah yang berjaya dirampas daripada sindiket penyeludupan dari negara Brunei di Ibu Pejabat IPK Sabah, Kota Kinabalu, kelmarin. - UTUSAN/GHAZALI BASRI


KOTA KINABALU 14 Okt. - Seorang anggota polis adalah antara lapan individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dan penjualan kereta dari Brunei ke negeri ini.

Anggota polis berusia 26 tahun itu dikatakan membantu seorang perancang utama sindiket dari Brunei yang berusia 54 tahun dengan menjual kenderaan tersebut pada harga murah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 54 tahun ditahan dalam beberapa serbuan pada bulan lalu.

"Suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh rakyat tempatan dan seorang warga Brunei.

"Polis turut merampas 38 buah kereta mewah bernilai RM4 juta yang dijual pada harga murah, antaranya, model Mercedes-Benz C230 Kompressor dengan harga RM60,000, BMW (RM40,000) dan Toyota Vios (RM18,000)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, semalam.

Menurut Hamza, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada pihak berkuasa Brunei mengenai kegiatan sindiket itu pada Julai lalu.

Modus operandi sindiket itu adalah menyewa kenderaan dari Brunei dan membawa masuk ke Sabah sebelum menukar nombor pendaftaran.

"Sindiket ini memalsukan cukai jalan kereta berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli di negeri ini," katanya.

Tambah Hamza, kebanyakan kenderaan berkenaan ditemui di Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau.

Setakat ini, kata beliau, polis telah mengenal pasti 18 pembeli kereta berkenaan yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk golongan profesional dan guru.

"Polis masih menyiasat berapa lama sindiket ini beroperasi dan menunggu maklumat daripada Polis Brunei sekiranya terdapat lagi kenderaan yang dilaporkan hilang di negara itu untuk tujuan yang sama," katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment