Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Peniaga berang premis disita



JITRA - Naik berang. Begitulah reaksi seorang peniaga di pekan Tanah Merah di sini, selepas premis perniagaannya hendak disita Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) kerana gagal menjelaskan cukai tafsiran tertunggak lebih RM1,000 dalam Operasi Cukai Pintu, semalam.

Keadaan menjadi makin tegang selepas peniaga berkenaan memarahi pengamal media yang merakamkan gambar ketika premisnya hendak disita, namun beberapa minit kemudian peniaga terbabit akur dan berjanji akan menjelaskan bayaran kepada MDKP.

Ketua Bahagian Penguat kuasa, Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, pihaknya masih berdiplomasi dengan pembayar cukai dan memberi peluang kepada peniaga terbabit menjelaskan hutang tanpa menyita premis perniagaan itu.

“Kali ini kita masih berkompromi kerana dalam kes ini peniaga berjanji mahu menjelaskan hutang cukai pintu yang tertunggak itu, namun jika gagal tindakan tegas akan diambil,” katanya selepas operasi berkenaan di sini, semalam.

Dalam operasi semalam, sebanyak 50 premis termasuk kediaman, perniagaan dan industri di sekitar Jitra, Bandar Darulaman dan Tanah Merah yang mempunyai tunggakan melebihi RM70,000 disita.

Setakat September lalu, MDKP sudah menyita hampir 800 premis kediaman, perniagaan dan industri dengan nilai kutipan lebih RM1 juta daripada keseluruhan tunggakan sebanyak RM3.4 juta.

Zakariya berkata, 300 daripada 800 premis yang disita itu sudah dikenal pasti untuk dikenakan tindakan undang-undang kerana masih gagal menjelaskan hutang cukai pintu yang tertunggak selepas premis disita.

“Kita harap melalui operasi yang dijalankan secara berterusan ini dapat meningkatkan kesedaran kepada pembayar cukai pintu supaya segera menjelaskan hutang tertunggak bagi mengelak sebarang tindakan diambil.

“Bagaimanapun, jika pembayar cukai datang berunding dan menjelaskan cukai tertunggak sebelum atau pada 28 November depan, tindakan undang-undang yang akan dikenakan kepada mereka boleh ditarik balik,” katanya.

No comments:

Post a Comment