Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Penganggur didenda RM5,500 miliki, menagih dadah



KOTA BHARU – Mahkamah Majistret semalam mengenakan hukuman denda RM5,500 terhadap seorang penganggur selepas didapati bersalah memiliki dan menagih dadah jenis metamphetamine dalam satu tangkapan di Jalan Guchil Bayam, di sini, Mei lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Nooh terhadap Faiz Asyraf Hamzah, 21 mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama yang dihadapi, dia didakwa memiliki 0.09 gram dadah metamphetamine di hadapan sebuah kedai runcit di jalan berkenaan pada jam 3.30 petang, 25 Mei lalu manakala dituduh menagih pada pertuduhan pindaan kedua pada tarikh sama.

Susulan kesalahan itu, Muhamad Hafiz dikenakan pengawasan selama dua tahun di balai polis Kubang Kerian pada 12 hari bulan setiap bulan.

Dalam pada itu, seorang mekanik dijatuhi hukuman enam bulan penjara selepas didapati bersalah menagih dadah jenis sama, 14 Jun lalu.

Zaky Yusof, 38 turut dikenakan pengawasan di balai polis Kota Bharu pada tarikh sama setiap bulan. Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

No comments:

Post a Comment