Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Pemandu teksi, OKU warga China minta sedekah diberkas

Utusan Malaysia Online - Kota:

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Demi mengaut keuntungan segera, seorang pemandu teksi sanggup bersubahat dengan tujuh orang kurang upaya (OKU) warga China untuk menghantar mereka ke lokasi-lokasi tertentu untuk meminta sedekah.

Namun, tindakannya itu menjerat diri apabila dia dan OKU tersebut diberkas dalam dua serbuan berasingan iaitu di Jalan Sarawak di sini pukul 3 pagi sebelum seterusnya di sebuah hotel di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan pertama, polis memberkas pemandu itu bersama empat OKU di dalam teksi tersebut dan susulan itu, polis menyerbu sebuah hotel dan memberkas tiga lagi OKU.

Tambahnya, siasatan mendapati lelaki tempatan itu menjadi pemandu rasmi OKU tersebut dan akan mengambil mereka semula setelah tamat 'bekerja' untuk dihantar ke hotel penginapan warga asing tersebut.

"Keempat-empat OKU itu datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial," katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Mohmad Salleh, polis percaya kegiatan meminta sedekah itu didalangi oleh pihak tertentu yang membawa OKU terbabit untuk meminta sedekah.

"Setiap lokasi diletakkan dua OKU untuk meminta sedekah dan mereka mampu memperoleh pendapatan RM500 hingga RM1,000 sehari.

"Kita juga percaya mereka melakukan kerja itu secara sukarela dan dibawa masuk oleh dalang yang dipercayai warga China juga," ujarnya.

Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment