Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Pegawai kanan UNISEL disaman


Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2011/10/15

pix_gal0
Bekas Naib Canselor bersama dua lain fail kes fitnah berjumlah RM8j

SHAH ALAM: Tiga bekas pegawai kanan Universiti Selangor (UNISEL), termasuk bekas Naib Canselornya, Datuk Dr Rosti Saruwono, memfailkan saman fitnah terhadap empat pegawai kanan institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu, petang semalam.
Berita Harian difahamkan, selain Dr Rosti, dua lagi yang memfailkan saman berkenaan ialah bekas Dekan Fakulti Perniagaan, Profesor Dr Khalifah Othman, 65, dan bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah, 55, yang membabitkan saman berjumlah RM8 juta.
Ketika dihubungi, Khalifah berkata, saman itu difailkan firma guaman Tetuan Abdul Rahman Azubir & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kira-kira jam 3 petang semalam.

Dalam saman fitnah itu, beliau menuntut RM2 juta bagi ganti rugi am, RM500,000 bagi ganti rugi teladan dan RM500,000 bagi ganti rugi teruk.

“Saman fitnah itu difailkan terhadap empat individu iaitu Pemangku Naib Canselor UNISEL, Profesor Dr Anuar Ahmad; Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam; bekas Naib Presiden Perkhidmatan dan Pengurusan, Datuk Latifah Hassan dan TNC Perancangan Strategik dan Pembangunan, Profesor Dr Mohamad Daud.

“Ia membabitkan apa diperkatakan keempat-empat individu berkenaan dalam satu memorandum bertarikh 16 Mei lalu dan pada sidang media 15 Ogos lalu yang kemudian disiarkan akhbar pada 16 Ogos lalu,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Difahamkan, Dr Rosti memfailkan saman fitnah bernilai RM3 juta manakala Halid memfailkan saman fitnah bernilai RM2 juta terhadap individu berkenaan.

Bagaimanapun, peguam ketiga-tiga pihak berkenaan enggan memberi dokumen yang difailkan kepada pihak media.

Sementara itu, Dr Rosti yang dihubungi, tidak mengulas secara terperinci sebaliknya menyatakan perkara itu sudah diserahkan kepada peguamnya bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, tindakan diambil kerana mereka perlu membersihkan nama masing-masing.

Cubaan untuk menghubungi Halid menerusi panggilan ke telefon bimbit gagal manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar bagi meminta komen, juga tidak dijawab.

Baru-baru ini, Dr Rosti meletak jawatan bagi membantah perlucutan jawatan tiga individu di universiti berkenaan tanpa diberi surat tunjuk sebab dan peluang membela diri. Tiga individu itu ialah Dr Khalifah, Rokmaa Mat (Pendaftar) dan Halid.
Berita Harian Online | Pegawai kanan UNISEL disaman:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment