Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Padah bantai isteri



KUANTAN - Seorang bapa kepada dua anak didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menyerang dan mencederakan isterinya menggunakan sebatang rotan dalam satu kejadian di Jalan Semambu di sini, 23 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, tertuduh, Chong Kwi Meng 34 dari Taman Seriku, Batu 12, Jalan Gambang dekat sini turut menumbuk muka dan kepala isterinya berusia 28 tahun selain menendang mangsa hingga terjatuh ke dalam longkang.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Pegawai Pen-dakwa Cif Inspektor Moha-mad Azman Ariffin, tertuduh yang sudah tidak bekerja selepas terlibat dalam nahas jalan raya didakwa mengalami krisis rumah tangga .

Malah tertuduh sendiri mengakui isterinya yang bekerja sebagai jurujual itu pernah meminta cerai namun dia enggan berbuat demikian.

Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu sebuah kereta dalam perjalanan dari tempat kerja di Cherating ke rumah dikejar suaminya yang menunggu di satu lokasi di tepi Jalan Semambu di sini.

Mangsa kemudiannya berhenti sebelum didatangi tertuduh yang memaksanya membuka pintu kereta.

Sebaik pintu dibuka, tertuduh terus menumbuk muka dan kepala mangsa sebelum disepak hingga terjatuh.

Tindakan ganas lelaki itu tidak berakhir di situ sebaliknya tertuduh mengambil sebatang rotan bulat sepanjang kira-kira satu meter lalu memukul isterinya hingga cedera di mata, kepala, lengan dan lebam di badan.

Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan suaminya nekad membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan tertuduh hari berikutnya dan dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang ditemani anak lelakinya (berada di luar) merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu jengkaut dengan pendapatan tidak seberapa tidak mempunyai pekerjaan selepas terbabit kemalangan.

Mengambil kira faktor kesalahan dan rayuan tertuduh itu, Majistret Nordiana Abdul Aziz mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000. 

No comments:

Post a Comment