Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Murid terima tujuh jahitan



HULU YAM - Seorang murid menerima tujuh jahitan di kepala setelah dilanggar sebuah motosikal, kurang beberapa meter dari pintu masuk sekolahnya, di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.05 petang, Isnin lalu, murid tahun satu sebuah sekolah, di sini turut mengalami kecederaan di bahagian mulut dengan dua gigi hadapan patah dan gusi koyak.

Ibu mangsa, Norleza Abdul Rashid, 37, berkata, ketika kejadian anaknya sedang menuju ke van sekolah sebelum dilanggar sebuah motosikal yang melalui kawasan itu.

Menurutnya, ketika kejadian, motosikal berkenaan dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Motosikal itu cuba mengelak kereta, tetapi terlanggar anak saya menyebabkan kepalanya cedera dan menerima lima jahitan di sebelah kiri dan dua jahitan di kanan.

“Dua gigi hadapannya turut patah dan gusi koyak,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini semalam.

Norleza berkata, sehari selepas kejadian, sekolah mengumumkan tidak bertanggungjawab dengan insiden itu kerana berlaku di luar kawasan sekolah.

Katanya, kejadian itu sedikit sebanyak mengecewakannya dan berharap pihak sekolah lebih prihatin dengan keselamatan murid.

“Walaupun kejadian berlaku di luar kawasan, mereka masih berpakaian seragam dan kebetulan kemalangan hanya beberapa meter dari pintu sekolah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kewujudan gerai yang dibina secara haram berhampiran kawasan itu dikesan punca berlakunya kemalangan berikutan banyak kenderaan diletakkan di kiri dan kanan bahu jalan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali dari Taman Desa Arowana, di sini menyifatkan kejadian malang menimpa murid sekolah berkenaan disebabkan kewujudan gerai haram di tepi jalan.

Menurutnya, kedudukan gerai berkenaan yang terlalu hampir dengan sekolah mengundang keadaan tidak selamat khususnya ketika murid pulang dari sekolah.

“Telah banyak aduan dikemukakan berhubung kewujudan gerai haram di tepi sekolah, namun tiada tindakan tegas diambil.

“Keadaan itu menyebabkan kesesakan di luar pintu sekolah, lebih-lebih lagi banyak kenderaan yang berhenti bukan saja untuk mengambil anak mereka, tetapi singgah makan di gerai itu,” katanya.

Pihak berwajib digesa supaya lebih tegas dan menguatkuasakan undang-undang sepenuhnya bagi mengelak lebih banyak gerai haram dibina di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment