Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Mayat bayi ditemui bawah katil





KUALA LUMPUR 26 Okt. - Seorang bapa tidak menyangka pendarahan dialami anak gadisnya yang berusia 14 tahun di rumah mereka di Kampung Sungai Rasau, Sepang dekat sini semalam, sebenarnya kerana melahirkan anak.
Difahamkan, kejadian itu turut membongkar tindakan gadis terbabit yang telah menggugurkan sendiri kandungannya sebanyak empat kali sejak berusia 13 tahun.
Bagaimanapun dalam kejadian sebelum ini, dia tidak mengalami sebarang masalah termasuk pendarahan.
Rahsia gadis itu terbongkar selepas lelaki tersebut membawa anaknya ke Hospital Putrajaya, untuk pemeriksaan, semalam.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar sekolah menengah itu melalui proses bersalin tidak lengkap berikutan terdapat uri dan tali pusat yang telah dipotong di dalam rahimnya.
Jurucakap polis berkata, berikutan itu, bapa saudara gadis berkenaan membuat laporan polis bagi mengesan bayi yang baru dilahirkan tersebut.
"Bertindak atas maklumat, polis membuat pemeriksaan di rumah gadis berkenaan pukul 6 petang dan telah menemui bungkusan yang mencurigakan di bawah katil.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu berisi mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat. Bayi itu dipercayai dilahirkan belum cukup bulan dan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui," katanya di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, sepanjang tempoh kehamilan, gadis itu tinggal di rumah terbabit bersama ibu dan bapanya yang bekerja sebagai peniaga.
Katanya, berikutan pendarahan yang serius, gadis terbabit ditahan di wad, manakala keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bayi itu.
Menurutnya, siasatan terperinci mengenai kes tersebut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment