Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Maut kereta tembung treler

SH:


KUALA KRAI - Kegembiraan dua beradik pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan emak saudara mereka bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan jalan raya di sini, awal pagi semalam.

Nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dan sebuah treler muatan kelapa sawit itu berlaku di Kilometer 108, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini, kira-kira jam 5.45 pagi.

Mangsa, Wan Mohd Asyraf Wan Muhamed, 24, mati di tempat kejadian manakala abangnya, Wan Mohd Hafiz, 29, dan seorang sepupu mereka yang turut menaiki kereta itu cedera ringan.

Pemandu treler yang penuh muatan kelapa sawit terbabit bagaimanapun tidak alami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Wan Muhamed Wan Ismail, 55, berkata, dua anaknya serta sepupu mereka bekerja di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke kampung di Wakaf Berangan, dekat Pasir Puteh.

“Mereka ambil cuti tiga hari sampai Ahad ini sebab nak hadir majlis perkahwinan emak saudara mereka, esok (hari ini).

“Kami sekeluarga tahu mereka ambil cuti dan bertolak balik dari Kuala Lumpur malam tadi kerana perkara ini sudah lama dirancang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Wan Muhamed berkata, kali terakhir dia bertemu Wan Mohd Asyraf, anak keduanya daripada empat beradik itu ialah sebelum Aidilfitri lalu.

“Dia tak balik kampung pada hari raya kerana bekerja,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh abangnyadi rumahnya di Kampung Wakaf Berangan.

Wan Muhamed yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh berkata, jenazah anaknya itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Kubur, dekat Pasir Puteh.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, nahas berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai manakala treler terbabit dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler terbabit,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment