Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Lelaki kena penjara ceroboh rumah wanita



KUANTAN - Perbuatan seorang lelaki menceroboh masuk kediaman seorang wanita dipercayai atas niat melakukan jenayah menyebabkannya dihukum penjara sehari oleh Mahkamah Majistret Kuantan di sini, semalam.

Bagaimanapun hukuman penjara ke atas tertuduh, Jeffri Salleh, 27 dari Felda Sungai Panching Utara dekat sini ditambah empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda RM1,000.

Keputusan dibuat Majistret Rini Triany Muhamad Ali selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan itu yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong IM13/3 Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira jam 7.20 pagi 7 Oktober lalu.

Mangsanya, wanita berusia 39 kemudian membuat laporan polis sehingga lelaki itu ditahan pada hari yang sama.

Tertuduh kemudiannya dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu dalam kes berasingan, mahkamah terpaksa menetapkan satu tarikh sebutan lain ke atas seorang warga Myanmar yang menghadapi tuduhan mengedar 17 gram heroin selepas lelaki itu tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu, semalam.

Tertuduh, Maung Maung, 31 didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan polis untuk pemeriksaan di hadapan gereja di Jalan Gambut di sini, 2 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan polis menemui 8 peket plastik berisi serbuk dan ketulan dadah heroin seberat 17 gram (berat kasar).

Berikutan kesalahan itu, dia dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

Pertuduhan dibuat Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin di hadapan Majistret Nordiana Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment