Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Lantai runtuh, tukang simen cedera



PELANTAR simen di bangunan tambahan KL Sentral yang dikenali sebagai NU Sentral yang runtuh, semalam. – Utusan/Safiyana Salim


KUALA LUMPUR 11 Okt. – Kira-kira 500 pekerja di bangunan tambahan KL Sentral di sini hari ini, gempar apabila lantai tingkat satu bangunan yang dalam pembinaan itu runtuh mengakibatkan seorang tukang simen warga Bangladesh mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku pukul 11 pagi semasa buruh binaan berusia 35 tahun itu sedang menjalankan kerja-kerja menyimen bersendirian di tingkat satu apabila pelantar tempatnya berdiri tiba-tiba runtuh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, siasatan mendapati runtuhan berlaku akibat lantai berkenaan tidak mampu menahan beban simen yang berat.

Beliau berkata, semasa kejadian, kebetulan hanya tukang simen warga Bangladesh terbabit berada di tingkat satu, manakala rakan sekerja yang lain sibuk menjalankan kerja-kerja pembinaan di aras bawah.

“Mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira empat meter dan segera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.

“Lelaki terbabit kemudian dibenarkan keluar dari hospital setelah doktor mengesahkan dia berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Bangunan tambahan KL Sentral dikenali sebagai NU Sentral yang bersambung dengan bangunan sedia ada itu bakal menempatkan pusat beli-belah setinggi tujuh tingkat dan ia mula dibina sejak dua tahun lalu.

Wan Abdul Bari berkata, berikutan kejadian runtuhan itu, semua kerja-kerja pembinaan di bangunan tersebut dihentikan buat sementara waktu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan di situ hanya dibenar diteruskan semula setelah pihak kontraktor dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengesahkan ia selamat untuk dimasuki.

Sementara itu, seorang rakan setugas mangsa yang juga dari Bangladesh dikenali sebagai Anuar, 25, memberitahu, dia bersama rakan-rakan lain terkejut dan panik apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan kuat dari tingkat atas.

“Saya bergegas naik ke tingkat atas dan terkejut melihat seorang rakan saya terbaring di atas runtuhan lantai yang baru sahaja disimen,” katanya sambil memberitahu dia segera membantu mangsa sementara menunggu ambulans tiba untuk menghantarnya ke hospital.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment