Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

'Kontraktor' TNB dicekup polis



KAJANG – Lagak seorang lelaki yang berperwatakan seolah-olah pekerja kontraktor pencawang elektrik dan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) akhirnya terbongkar apabila ditahan polis bersama van yang dipenuhi barangan curi hasil kegiatannya di sekitar Bandar Mahkota Cheras.

Lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun melakukan kegiatan berkenaan pada hari biasa dan bertindak selamba dengan meletakkan tanda makluman kerja sedang dilaksanakan bagi mengaburi mata penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, dalam kejadian pada 7 Oktober lalu, polis menerima aduan dari TNB kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan kehilangan kabel TNB di kawasan pencawang Bandar Mahkota Cheras, dekat sini.

“Bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki dan merampas sebuah van pada jam 2.30 petang hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu mengaku menjalankan kegiatan berkenaan di lokasi yang dikenal pasti terlebih dahulu sebelum melakukan kegiatannya,” katanya.

Menurutnya, bagi mengaburi mata penduduk setempat, suspek memakai pakaian dan meletak tanda maklumkan kerja sedang dijalankan bagi memudahkannya melakukan kegiatan berkenaan.

“Suspek biasanya akan mengenal pasti lokasi terlebih dahulu dan meletakkan tanda amaran kerja penyelenggaraan dilakukan dan berpakaian seperti kontraktor sebelum melakukan kerja berkenaan.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan pada van yang digunakan suspek, kita menjumpai pelbagai peralatan yang digunakannya termasuklah mesin pemotong kabel dan serangkai kunci yang diubahsuai.

“Selain itu kita juga menjumpai tiga gulung kabel hitam yang dipercayai baru diperoleh serta barangan lain yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment