Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Kapten Amerika diberkas



PETALING JAYA - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Kapten Amerika diberkas Polis Petaling Jaya selepas terlibat dalam lapan kejadian pecah kereta di sekitar Sungai Way dan Sea Park sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, berbekalkan maklumat awam, suspek berusia 44 tahun berjaya ditahan di rumahnya di Bandar Utama Ahad lalu.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah membaling batu ke arah cermin kereta yang diikat dengan nota berbaur perkauman dengan menamakan dirinya sebagai Kapten Amerika.

“Siasatan mendapati suspek yang mempunyai masalah mental melakukan kegiatannya jenayahnya pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak dikesan orang ramai,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pemakaian pangkat anggota lans koperal peringkat IPD Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, kali terakhir suspek memecah kenderaan ialah pada awal Oktober lalu di Sea Park.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas kesabaran penduduk yang tidak cepat melatah bagi membolehkan kes ini diselesaikan polis dengan cara yang baik,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 507 kanun keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada majlis itu seramai 63 anggota lans koperal dinaikkan ke koperal, 12 anggota menerima sijil penghargaan manakala tujuh lagi untuk anugerah kumpulan inovatif dan kreatif.

No comments:

Post a Comment