Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

JPJ sita 20 motosikal

SH:


BANDAR JERANTUT - Sebanyak 20 motosikal disita akibat kesalahan cukai jalan tamat melebihi setahun dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jerantut, kelmarin.

Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ Jerantut, Zunaidi Mohamed Kasim berkata, seramai 10 anggota JPJ dan 20 kakitangan AADK terbabit dalam operasi bersepadu itu, selain 20 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang mengawal lalu lintas.

Menurutnya, operasi bersepadu itu turut menumpukan kepada penunggang motosikal di Jalan Tahan Bandar Jerantut yang tamat pada jam 7 petang membabitkan pemeriksaan ke atas 180 motosikal dan 120 kereta.

“Selain itu, kita turut mengesan lapan individu positif dadah dengan 70 saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dikeluarkan terutama untuk kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan.

“Sebanyak 10 saman untuk kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut ukuran ditetapkan, 15 notis kenderaan bercermin gelap dan 10 notis pengubahsuaian tanpa kebenaran dikeluarkan dalam operasi kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Bersama AADK dan JPJ, kelmarin. Turut hadir, Ketua Pegawai AADK Jerantut, Yaacob Mohd Daud.

Zunaidi berkata, operasi itu juga adalah kali ketiga untuk tahun ini yang juga merupakan operasi terakhir pada tahun ini selepas Ops Sikap Musim Perayaan lalu.

Menurutnya, dalam operasi kali ini, pemilik motosikal yang disita akibat cukai jalan tamat tempoh melebihi setahun dikehendaki hadir ke pejabat cawangan JPJ, di sini, untuk memperoleh surat pengesahan sebelum menghidupkan cukai jalan motosikal masing-masing.

“Operasi bersepadu ini bukan untuk menyusahkan pengguna, namun bertujuan memberi kesedaran dan mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan JPJ terutama berkaitan lesen pemanduan, cukai jalan, cermin gelap, penggunaan tali pinggang keledar serta mengubahsuai nombor pendaftaran.

“JPJ memandang serius pemeriksaan ke atas kenderaan yang diubahsuai berbanding spesifikasi asal berikutan ia turut menjadi penyumbang kepada kemalangan maut,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment