Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Jeritan selamatkan keluarga

SH:


RANTAU PANJANG – Jeritan seorang wanita berjaya menyelamatkan suami serta lima anaknya, yang ketika itu berada di rumah kedai di pekan Rantau Panjang kira-kira 8.50 malam kelmarin.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik apabila terlanggar periuk panas berisi tomyam yang cuba dialihkan dari kedai bersebelahan, sehingga menyebabkan paha hingga kaki kirinya melecur.

Fatimah Husin, 48, berkata, sebaik selesai solat Isyak, dia yang ketika itu berada di bilik atas rumah, melihat api marak dari rumah jiran terletak di belakang kediamannya.

Menurutnya, dia menjerit memanggil suami yang sedang makan bersama tiga anak lelakinya di tingkat bawah, sementara dua anak perempuannya solat di tingkat atas.

“Sebaik mendengar jeritan saya, masing-masing keluar menyelamatkan diri, saya sempat membaca ayat Kursi sambil mencari dokumen penting untuk diselamatkan, sementara suami pula mengalunkan azan.

“Setelah berjaya menyelamatkan kesemua dokumen penting, saya berlari keluar dari rumah, sampai pada bahagian depan, saya terlanggar orang yang sedang mengalihkan periuk tomyam di kedai sebelah,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kesemua anggota keluarganya selamat walaupun dia mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian saya, hanya memikirkan tentang dokumen penting setelah anak-anak berjaya menyelamatkan diri masing-masing.

“Saya bersyukur sempat menyelamatkan kesemua dokumen penting dalam keadaan kelam kabut malam kelmarin, dan rumah tidak musnah, cuma mengalami kerosakan pada bahagian belakang,” katanya.

Sementara itu, Norhafizah Abdullah, 24, anak ketiga Fatimah Loman, 49, yang juga mangsa kebakaran, bersyukur ibunya selamat dalam kebakaran melibatkan 12 rumah di pekan Rantau Panjang, malam kelmarin.

Nothafizah berkata, dia yang menetap di Shah Alam dan terus pulang sebaik menerima berita tentang kejadian.

“Saya bersyukur emak selamat walaupun rumah kami musnah dalam kebakaran ini.

“Barang kemas saya yang berada dalam simpanan emak juga terbakar, tetapi saya bersyukur emak selamat,” katanya yang kini berusaha untuk mencari penempatan sesuai untuk ibu, adik serta ayahnya tinggal sebelum kembali ke Shah Alam menyambung tugasnya di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, dia juga akan memastikan segala keperluan persekolahan adiknya dapat dibeli bagi membolehkannya meneruskan persekolahannya seperti biasa.

“Setelah segala urusan mencari kediaman untuk emak serta membeli keperluan adik barulah saya kembali ke Shah Alam, saya berharap adik dapat kembali bersekolah seperti biasa,” katanya.

Adiknya, Nur Fatin Norshafieyka, 14, berkata, beberapa minit sebelum kejadian, dia ke kedai berhampiran rumahnya untuk membeli telur bungkus dan keuy teaw

“Saya segera ke sana, ketika itu saya tengok orang ramai keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri, saya cuba masuk lorong untuk balik ke rumah, tetapi gagal kerana keadaan gelap dan asap hitam,” katanya.

Adun Gual Periok, Mohamad Awang berkata, dia bersimpati dengan 12 keluarga yang terlibat dalam kebakaran ini dan meminta mereka bersabar.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan membantu mangsa dengan menghulurkan bantuan di bawah Tabung Serambi Mekah.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba Dua, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Anuarrulhakim Mohny berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.55 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Kejadian kelmarin menyebabkan lima rumah serta dua rumah kedai musnah ,sementara lima yang lain terbakar sebahagian sahaja.

Kerugian sehingga kini dianggarkan sekitar RM300,000, sementara punca kejadian masih dalam siasatan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment