Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Jemaah dipukul imam muda



BANGGOL CHICHA – Gara-gara menegur rumah imam muda gelap, seorang jemaah masjid di kampung dekat sini, mendakwa dia dipukul dengan kayu sepanjang setengah meter, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, baru-baru ini.

Akibatnya, mangsa, Arifin Abdullah, 58, pengsan dan hanya bangun selepas beberapa minit kerana tiada siapa di dalam masjid ketika kejadian berlaku.

Arifin berkata, dia mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bahagian dalam telinga kiri sehingga menyebabkan pening serta sukar menumpukan perhatian ketika solat.

“Mujurlah kayu jenis satu dua inci tersebut terkena serban yang dipakai, jika tidak pasti saya mengalami kecederaan yang lebih teruk.

“Ketika perjalanan ke kedai makan, saya cuma cakap, gelap rumah imam muda, mungkin dia tertidur selepas solat Subuh pagi tadi, itu sahaja,” katanya, semalam.

Menurutnya, mungkin ia didengar oleh pihak tidak bertanggungjawab dan memutar belitkan cerita sehingga menimbulkan kemarahan imam muda berkenaan.

Namun katanya, imam muda itu juga tidak sepatutnya menggunakan pendekatan memukul orang tua, lebih-lebih lagi kerana tarafnya sebagai imam di kampung ini.

“Saya tidak menyangka seorang imam muda yang hanya berusia 30-an, sanggup memukul orang yang lebih tua, hanya kerana termakan nasihat orang yang menabur fitnah.

“Saya sudah membuat laporan polis selepas kejadian , namun memikirkan soal kekeluargaan, saya tarik balik laporan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mahu perkara seperti ini tidak lagi berlaku, lebih-lebih lagi kepada seorang imam yang sepatutnya menjadi model kepada anak-anak muda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

No comments:

Post a Comment