Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Isteri selamatkan suami

SH:


RANTAU PANJANG- Seorang isteri terpaksa mengheret suaminya yang lumpuh sejauh 100 meter bagi menyelamatkannya daripada terperangkap dalam kebakaran melibatkan 12 rumah dan kedai di pekan Rantau Panjang, malam kelmarin.

Dalam kejadian, 8.50 malam itu, Rubiah Loman, 49, dan suaminya, Mohd Rosdi Rashid, 49, sedang berehat di rumahnya sebelum mendengar jeritan daripada jiran meminta mengosongkan rumahnya yang sedang terbakar.

Rubiah berkata, selepas mendengar jeritan itu, apa yang difikirkannya ketika itu adalah untuk menyelamatkan suaminya walaupun sedar berdepan dengan kesukaran kerana penyakit stork yang dihidapi suaminya sejak setahun yang lalu.

“Perkara pertama saya fikirkan ialah untuk menyelamatkan suami walaupun saya sedar berdepan dengan kesukaran kerana dia tidak dapat bergerak.

“Mulanya saya cuba meminta tolong, tetapi tidak ada yang mendengarnya kerana masing-masing cuba menyelamatkan diri, disebabkan tiada pilihan kerana hanya kami berdua sahaja berada di rumah ketika itu, saya menarik tangan suami dan terus mengheret keluar dari rumah hingga ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Dalam kebakaran 12 kedai itu, tujuh daripadanya hangus melibatkan kerugian bernilai RM300,000.

Rubiah yang juga mengidap penyakit kencing manis berkata, selepas membawa suaminya di tepi jalan, beberapa orang penduduk tampil membantu mengangkat Rosdi ke masjid berdekatan.

“Saya tidak mempunyai kudrat untuk menarik suami selain kasihan melihat keadaannya yang tidak mampu bergerak, tetapi saya gagahi juga menariknya hingga ke tepi jalan dan berhenti di situ kerana tidak berdaya untuk terus menariknya.

“Saya bersyukur walaupun suami cedera pada paha kirinya, tetapi dia tetap berjaya diselamatkan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Rubiah berkata, ketika kejadian anak bongsunya, Nur Fatin Norshafieyka Mohd Rosdi, 14, keluar membeli makan malam.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana kebakaran itu tidak mengorbankan nyawa keluarganya walaupun barang kemas seperti cincin dan subang hilang bersama wang tunai lebih RM500.

Penguasa Kanan Bomba Dua, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Anuar Rulhakim Mohny berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.55 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pangkalan Kubor dengan15 anggota berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 30 minit.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment