Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

‘Hanya arwah, suami tahu’



KUALA TERENGGANU: “Hanya arwah dan adik ipar tahu apa yang berlaku pada hari kejadian. Sebagai ahli keluarga, saya serahkan kepada polis menyiasat punca dan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” kata Zalina Yahaya, 33, kakak sulung kepada Suriani Yahaya, 28, yang meninggal dunia selepas disyaki dibakar suami sendiri, awal pagi kelmarin.
Suriani yang juga seorang jururawat meninggal dunia jam 4.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat melecur lebih 80 peratus.

Menurut Zalina, dia dan ahli keluarganya sebolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan peristiwa itu demi menjaga hati dan perasaan kedua-dua keluarga apatah lagi hubungan mereka dengan keluarga adik ipar sangat baik.

“Apabila berita menimpa Suriani dilaporkan dalam akhbar, pelbagai reaksi diterima terutama yang menyalahkan adik ipar. Namun, kami memohon orang ramai tidak membuat andaian melulu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Jika difikirkan, tidak mungkin adik ipar sanggup berbuat sedemikian apatah lagi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai masalah.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terhadap mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Ya, Paya Resak, Marang, di sini, semalam.


Suriani, anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Resak kira-kira jam 9 malam kelmarin. Dia meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang jururawat di HKL kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur dipercayai dibakar suami sendiri ketika mangsa mandi di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment