Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Gerudi kedai emas



SETIU - Seramai empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan pecah masuk ke dalam kedai emas dan mencuri barangan kemas di bandar Jertih, di sini pada 31 Ogos lalu.

Mereka dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3.45 pagi hingga 7.50 pagi di Rumah Kedai Emas Din Mahmood, di Taman Jertih, Jertih Besut.

Cheng Hing Fei, dari Bentong, Pahang; Lim Shing, 49, dari Taman Jauara Jaya, Balakong Seri Kembangan, Selangor; Leong Weng Sang, 52, dari Kuncai Lama, Puchong, Selangor dan Koh Kok Hin, 44, dari Jalan Union, Sentul, Kuala Lumpur dituduh melakukan jenayah itu terhadap kedai dan barang kemas milik Hishammuddin Mat, 31.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun serta denda, dan jika kesalahan itu kesalahan mencuri boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Shuzianna Shakila Raja Mamat.

Timbalan pendakwa raya, Norazlinawati Arshad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 seorang dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan semua tertuduh, mahkamah kemudian membebaskan mereka dengan jaminan sebanyak RM7,000 seorang, dan menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, pemilik kedai emas tersebut menyedari premisnya dipecah masuk setelah jirannya menghubunginya memberitahu, terdengar bunyi sesuatu yang ganjil dalam kedainya.

Hishamuddin yang bergegas ke kedainya terserempak dengan salah seorang suspek (Cheng Hing Fei) yang berada berhampiran sebuah kereta di depan kedainya.

Dia yang menghubungi polis kemudian bertindak bersama sepasukan polis mengejar suspek pertama yang melarikan diri dengan memandu sebuah kereta Perodua MyVi dan kenderaan itu berjaya dipintas di Seberang Jertih.

Susulan tangkapan Cheng Hing Fei, membawa kepada tertangkapnya tiga rakannya itu di Melaka pada 1 Oktober lalu.

Modus operandi tertuduh ialah menebuk dinding premis kedai emas itu dengan menggunakan gerudi besar.

Bagaimanapun dalam kejadian itu, tertuduh gagal memasuki bilik kebal yang menyimpan sebahagian barang emas tersebut.

No comments:

Post a Comment