Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Dua warga asing ditahan, rampas ganja bernilai RM90,000



NILAI - Kastam Cawangan Narkotik menahan dua warga asing dan dua buah kenderaan serta merampas 31 bungkusan berisi ganja mampat seberat 37 kilogram bernilai RM90,000 pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Ibu pejabat Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar, berkata kedua-dua kenderaan dari arah utara ditahan di Kilometer 449.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rawang, Selangor, kira-kira jam 10.30 malam selepas diekori sejauh kira-kira 10 kilometer.

"Pemandu kenderaan pertama seorang lelaki warga Nigeria berumur 37 tahun dan seorang penumpang wanita warga Laos berusia 35 tahun dalam kenderaan kedua ditahan, manakala pemandu kenderaan kedua berjaya melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan itu di Kampung Jijan dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan pertama menemui bungkusan bahan mampat dipercayai ganja berkenaan sementara tiada barang dijumpai dalam kenderaan kedua.
Menurut Liah, ganja berkenaan dibungkus dengan kertas akhbar diisi dalam beg dan kotak yang disembunyikan di tempat simpanan barang di belakang kenderaan.
"Siasatan awal mendapati lelaki warga Nigeria itu seorang pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur manakala wanita Loas itu memiliki dokumen perjalanan memasuki Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam, Changloon," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari sejak Isnin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya percaya dadah tersebut untuk dihantar ke Kuala Lumpur. - Bernama

No comments:

Post a Comment