Search This Blog

Wednesday, October 12, 2011

Dua tembakan tembusi cermin



TELOK KEMANG – Seorang lelaki nyaris maut setelah diekori dua lelaki menunggang motosikal sebelum melepaskan dua tembakan menembusi cermin keretanya.

Mangsa, seorang lelaki berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 40-an difahamkan baru pulang dari Port Dickson membeli beberapa barang keperluan sebaik pulang bekerja sekitar jam 8.30 malam, kelmarin.

Menurutnya, dia menaiki kereta berseorangan dan ketika tiba di kawasan parkir rumahnya di Batu 7, dekat sini, dia melihat dari cermin belakang dan mendapati terdapat sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki mengekorinya.

“Tidak lama kemudian, pembonceng motosikal terbabit kemudian menembak dengan dua das tembakan yang menembusi cermin kereta saya.

“Nasib baik saya sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, sebaik tembakan dilepaskan, suspek terus melarikan diri.

“Saya tidak pasti apa motif sebenar kejadian tersebut dan masih bingung dengan apa yang terjadi,” katanya yang terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan secara terperinci akan dilakukan dari semua aspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini juga diminta menghubungi IPD Port Dickson menerusi talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment