Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Dua pemuda rempuh sekatan diberkas



KEPALA BATAS 26 Okt. - Polis terpaksa mengejar sebuah kereta dinaiki dua pemuda sejauh kira-kira 12 kilometer selepas kenderaan itu merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Dua dekat sini hari ini, sebelum berjaya menahannya.
Pegawai Turus Unit Peronda Polis Negeri, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, pihaknya mengesan kereta Proton Wira itu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.
Namun, ujarnya, pemandu kereta terbabit terus memecut kenderaan itu menghala ke utara dan merempuh palang tol.
"Unit Peronda Elit Evolution X Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang terpaksa mengejarnya dan menahan kereta terbabit pukul 8.15 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya yang berusia 20-an mengaku datang dari Pendang, Kedah untuk berhibur di Pulau Pinang sempena Deepavali selain mendapatkan bekalan dadah daripada pembekal di negeri ini.
"Pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui satu peket serbuk kristal dipercayai syabu yang disorokkan di dalam kereta. Ia dipercayai untuk dijual di sekitar Pendang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rohizad, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan juga dadah.
Katanya, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

No comments:

Post a Comment