Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Ditemui lemas

myMetro | Ditemui lemas:

LANGKAWI: Seorang bapa nekad terjun ke dalam kolam lombong pasir sedalam 3.5 meter untuk mencari anak lelakinya berusia 12 tahun yang dipercayai tergelincir ke dalam kolam itu di Kampung Gelam, Mukim Kedawang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Mohd Aiman, yang pendiam dan jarang keluar rumah, dikatakan terjatuh ke dalam kolam itu ketika bermain dengan dua rakannya.


Bagaimanapun, pencarian Ali Mat Akob, 49, berakhir kekecewaan apabila anak kelima daripada enam beradik itu ditemui lemas dalam kolam berkenaan selepas mencari kira-kira 15 minit.

“Ketika kejadian, saya sedang membuat kerja sekitar rumah apabila seorang rakan datang dalam tergesa-gesa memberitahu anak saya jatuh ke dalam kolam dan tidak timbul-timbul.


“Saya bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah dan mendapati tempat itu sunyi serta tiada sesiapa di situ,” kata Ali ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Langkawi (HL), di sini.


Berikutan itu, Ali terjun untuk mencari anaknya tetapi gagal kerana air kolam keruh dan dalam, memaksanya naik semula ke darat untuk meminta bantuan rakan.

“Beberapa minit kemudian, dua pekerja syarikat mengorek pasir berkenaan datang membawa tali untuk membantu usaha mencari sebelum seorang penduduk menemui mayat anak saya di dasar kolam.


“Saya sendiri yang menyambut mayat Mohd Aiman di tebing kolam dan mengesyaki dia sudah lama jatuh dan tenggelam dalam kolam itu selepas melihat keadaan matanya yang menonjol keluar,” katanya.

Ali berkata, tiada kelakuan ganjil ditunjukkan Mohd Aiman sebelum kejadian kecuali beria-ria mahu ke rumah abangnya di Sepang, Selangor pada cuti sekolah nanti.


“Arwah baru lepas mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebelum ini dia selalu memberitahu saya atau isteri kalau mahu ke mana-mana, tetapi hari ini, kami tidak tahu dia ke kolam itu.


“Mungkin ajalnya sudah sampai dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut meminta pengusaha projek gali pasir berkenaan membina pagar bagi mengelak kejadian sama berulang.


Rakan mangsa, Mohd Akif Danial Ridzuan, 10, berkata sebelum kejadian dia dan mangsa serta seorang lagi rakan mereka keluar berbasikal dan bermain berhampiran kolam tapak gali pasir berkenaan.


“Ketika berada di tebing kolam Mohd Aiman tiba-tiba hilang kawalan selepas cuba membersihkan bajunya yang terkena pasir lalu terjatuh ke dalam kolam dan tenggelam. Kawasan itu memang selalu jadi tempat kanak-kanak bermain,” katanya.


Jenazah Mohd Aiman yang juga pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kedawang di sini, dibawa ke Bilik Mayat HL untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya jam 9.45 malam.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment