Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Din Kudung kembali

myMetro | Din Kudung kembali:

JOHOR BAHRU: Seorang kasanova kudung jari tangan yang dikenali sebagai Din Kudung kembali aktif apabila dikesan memperdaya sekurang-kurangnya dua wanita dengan mengaku sebagai kontraktor sebelum mengikis wang mereka berjumlah kira-kira RM200,000.

Sebelum ini, dia pernah dipenjara dua tahun dan lapan sebatan pada 15 Ogos 2003 lalu tetapi ia sedikitpun tidak menginsafkan lelaki berkenaan, sebaliknya mengubah taktik dengan memerhatikan mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak menipu mereka.


Lelaki berkenaan tetap mencari mangsa di Terminal Pengangkutan Awam dan Pasar Larkin, sama seperti sebelum ini, namun dipercayai tidak dibuat secara rambang sebaliknya meneliti latar belakang mangsa terutama mereka yang putus cinta sebelum berkenalan.

Helah itu dilakukan bagi memudahkannya berkenalan, sebelum membawa mangsa ke beberapa kawasan bersama seorang kenalannya dan memberitahu beberapa projek pembinaannya seperti di Bandar Seri Alam, terbengkalai akibat masalah kewangan.


Mendedahkan penipuan lelaki berusia awal 40-an itu, seorang peniaga dikenali sebagai Syed Baidullah, 37, berkata, dia didatangi dua wanita yang juga kakitangan kerajaan menceritakan ditipu bekas banduan berkenaan.


Katanya, mangsa mendakwa ditipu barang kemas, wang simpanan, meminjam dari bank hampir RM100,000 dan menggadaikan barang kemas bagi memenuhi kehendak lelaki berkenaan.

Selepas mangsa dibebani hutang, Din Kudung akan meninggalkan mangsa dan menukar semua nombor telefon yang pernah diberikan kepada mangsa.


“Saya mengenali dua mangsa lelaki berkenaan yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan dan seorang kakitangan swasta yang membuat laporan polis pada Julai lalu apabila sedar ditipu hingga menyerahkan wang pinjaman bank yang dibuat berjumlah hampir RM200,000,” katanya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Syarifah, 28, berkata, dia mengenali Din Kudung di tempat kerjanya di Masai, Januari lalu.


Katanya, sebaik berkenalan, Din mengatakan sudah lama memerhatikannya dan ingin menjadikan teman hidup. “Selama tiga bulan berkenalan, Din banyak menggunakan wang simpanan saya dan tanpa segan silu selalu menyelongkar dompet saya.


“Pada mulanya saya tidak menyangka apa-apa namun sedar niat jahatnya apabila mendapati dia sering berjoli dan apabila bertegas menuntut bayaran balik, dia sering berdolak-dalih.


“Sebahagian besar wang sudah dikembalikan namun hingga Mac lalu, Din masih berhutang RM4,000 sebelum menghilangkan diri,” katanya.


Menurutnya, wang berkenaan hanya dibayar selepas seorang kenalannya campur tangan dan memberikan kata dua kepada Din supaya memulangkan wangnya.


Mangsa kedua, seorang kakitangan awam yang mahu kenali sebagai Anis, 25, berkata, Din menyapanya di Terminal Pengangkutan Awam dan Pasar Larkin, hujung tahun lalu.


Menurutnya, ketika perkenalannya itu, Din dilihat tahu latar belakangnya termasuk tempat kerja menyebabkannya percaya Din menyelidik mangsanya sebelum menghampiri dengan ramah dan memperkenalkan diri sebagai kontraktor.


Katanya, selepas berkenalan Din menyatakan hasrat meminjam wang untuk pelaburan, membayar saman dan menjamin pekerjanya yang ditahan Jabatan Imigresen. “Apa yang membuatkan saya lemah ialah Din pandai merayu, menangis dan merendah diri sebagai orang kurang keupayaan (OKU) agar dikasihani.


“Dia akan menggunakan kekurangannya itu sebagai cara memperdaya saya selain bijak berkata-kata.


“Hingga kini, saya sudah membuat dua pinjaman bank berjumlah RM89,000 dan menyerahkannya kepada Din dan menyerahkan tiga cincin serta subang kerana Din memerlukan wang bagi menjamin pekerja yang kononnya ditahan Jabatan Imigresen,” katanya. “Selain itu, saya turut menyerahkan RM10,000 yang diambil menerusi kad kredit dan wang tunai RM5,000,” katanya.


Menurutnya, dia membuat laporan polis pada 3 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam apabila Din gagal dikesan melalui enam nombor telefon bimbitnya.


Sementara itu, Jurucakap IPD Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.


Difahamkan, lelaki berkenaan bergiat aktif sejak tahun lalu dan menyamar sebagai ahli perniagaan yang mempunyai pelbagai ‘projek’ dibantu rakan yang berlakon menambah kenyataannya bagi meyakinkan mangsa seperti ke ke kawasan pembinaan perumahan baru di Seri Alam, Masai.


Kisah penipuan Din Kudung sering terpapar di Harian Metro dengan kali terakhir pada 15 Ogos 2003, apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta lapan kali sebatan selepas didapati bersalah menipu dua wanita.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment