Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Cubaan terjun bangunan gagal



SH:
MUAR - Cubaan seorang pekerja warga Indonesia mahu terjun bangunan yang sedang dibina di Kawasan Perindustrian Bukit Mor di sini, gagal apabila sempat diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki itu dikatakan sedang bekerja membina bangunan setinggi tiga tingkat dan secara tiba-tiba mendiamkan diri di tepi bangunan berkenaan.

Pada mulanya, rakan sekerjanya menyangka lelaki berusia 30 tahun itu tidak sihat, tetapi apabila dia mendiamkan diri dalam tempoh yang lama telah menimbulkan kehairanan kepada semua pekerja.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sedikit cemas apabila lelaki itu secara tiba-tiba cuba melakukan aksi seolah-olah hendak terjun bangunan.

Lantas, salah seorang pekerja memanggil majikan mereka untuk memaklumkan perkara itu sebelum melaporkannya kepada polis juga bomba.

Difahamkan, lelaki itu telah bekerja di tapak pembinaan itu sejak beberapa bulan lalu dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Pada masa sama, dipercayai pekerja itu mengalami tekanan perasaan, tetapi sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang tindakan yang mencemaskan ramai orang.

Setelah lebih sejam usaha memujuk pekerja itu gagal, memaksa majikan meminta pertolongan daripada pihak polis dan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima maklumat pihaknya bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota dengan satu jentera.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, bomba dan dibantu empat polis cuba memujuk mangsa tetapi tidak berjaya.

“Akhirnya, mendorong kami mengambil tindakan pantas dengan menangkap dan memakaikannya baju pasung.

“Tindakan ini untuk mengawal mangsa daripada bertindak agresif yang boleh menyukarkan kerja menyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, seterusnya, mangsa berjaya dibawa turun daripada bangunan menggunakan jentera mengangkat konkrit.

“Sebaik diturunkan, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment