Search This Blog

Friday, October 28, 2011

Bunuh model sambilan: Rakan terlepas hukuman mati



28/10/2011 3:56pm



PUTRAJAYA 28 Okt. - Seorang pemuda yang keciciran sekolah, terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh seorang model sambilan yang cuba meliwatnya ketika sedang tidur, tujuh tahun lalu.
Ismawi Ishak, 26, sebaliknya diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun selepas mahkamah meminda tuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) kanun yang sama atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Wira Mohtarudin Baki.
Ismawi (perayu) kelihatan menangis tersedu-sedan ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Abdul Malik. Sewaktu kejadian dia berusia 19 tahun manakala mangsa, Mohamad Azhary Mohamed yang mengalami 27 kesan luka akibat tetakan dan tikaman, merupakan rakannya.
Perayu dalam pembelaannya menyatakan, ketika menumpang tidur di rumah mangsa pada malam itu, lelaki tersebut telah menanggalkan seluar dan menyentuh tubuh serta cuba meliwatnya dan perbuatan itu telah menimbulkan kemarahannya.
Ismawi diwakili oleh peguam yang dilantik oleh mahkamah, K. Vikneswaran manakala Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment