Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

‘Anak pesan usah risau soal wang selepas meninggal’

KOTA BHARU: “Anak saya pernah berpesan supaya tidak risau mengenai wang untuk membiayai pembelajaran adiknya kelak walaupun dia meninggal dunia terlebih dahulu,” kata Sabariah Ali, 56, ibu kepada Konstabel Sharil Ramly, 25, yang maut dalam nahas jalan raya, awal tahun ini.
Pesanan itu dimaklumkan kepada Sabariah, beberapa hari sebelum Sharil terbabit kemalangan pada 20 Januari lalu menyebabkan wanita itu kebingungan kerana tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh anak ketiga daripada lima beradik itu.

Bagaimanapun, rahsia itu terungkai apabila Sabariah menerima panggilan daripada Bank Rakyat Cawangan Wakaf Che Yeh di sini, memintanya hadir ke cawangan berkenaan untuk menerima wang pampasan insurans berjumlah RM41,000.

“Saya terkejut dengan berita itu dan berjanji mengotakan pesanan Sharil yang ingin melihat dua adiknya berjaya dalam pelajaran.

“Malah, saya juga berhasrat ingin menyedekahkan sedikit wang berkenaan kepada anak yatim dan juga masjid di Felda Kampung Jelai Dua, Gemas, Negeri Sembilan,” katanya yang datang dari Gemas, Negeri Sembilan ke Kota Bharu bersama anaknya, Mimi Wahidah, 19, untuk menerima cek berkenaan, baru-baru ini.

Majlis penyampaian cek disempurnakan Pengurus Bank Rakyat, Cawangan Wakaf Che Yeh, Mohd Zuhaimi Hussain.


Sabariah berkata, sebelum itu, Sharil pernah memberitahunya bahawa dia ada membuat pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 dengan Bank Rakyat kerana ingin melabur dalam ternakan ikan keli, selain ingin membeli motosikal untuk Mimi bagi memudahkan adiknya pergi belajar.

Bagaimanapun, katanya, Sharil yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu tidak pernah menyatakan dia mencarum RM50 setahun dalam insuran Takaful Amani.

No comments:

Post a Comment