Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

438 maut nahas motosikal

Utusan Malaysia Online - Johor:

Jens Reisch (kanan) bersama Noormazura Mat Nawi memakaikan topi keledar yang diberikan secara percuma kepada salah seorang penunggang di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 14 Okt. - Sebanyak 438 kematian melibatkan motosikal direkodkan di negeri ini dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 433 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Noormazura Mat Nawi berkata, jumlah kematian yang membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal itu meningkat 1.2 peratus.

"Kematian melibatkan motosikal ini konsisten dan menyumbang 60 peratus kadar kematian akibat kemalangan penunggang atau pembonceng kenderaan ini.

"Sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, keseluruhan kematian kemalangan adalah 717 kes dan lebih separuh daripada membabitkan motosikal," katanya pada Majlis Pembukaan Cawangan Allianz Johor Bahru Synergy di sini semalam.

Pada majlis itu, Allianz Malaysia Berhad (AMB) mengedarkan 50 topi keledar secara percuma kepada penunggang motosikal yang melalui Jalan Serampang, lokasi cawangan ke-19 syarikat tersebut. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AMB, Jens Reisch.

Noormazura turut memuji inisiatif syarikat itu yang merupakan syarikat insurans pertama menandatangani memorandum persefahaman dengan pihaknya dalam langkah mengurangkan kadar kemalangan sejak 18 Julai lalu.

Beliau berkata, kebanyakan kematian yang melibatkan motosikal akibat kecederaan parah di kepala.

"Kesedaran mengenai pemakaian topi keledar yang menepati piawaian SIRIM dan memakainya dengan betul perlu diberi penekanan.

"Penunggang dan pembonceng motosikal terdedah kepada risiko kemalangan yang tinggi dan dengan perlindungan dan langkah-langkah pencegahan seperti pemasangan pelekat bercahaya, pemakaian topi keledar dapat mengurangkan kadar kemalangan sekali gus kematian," katanya.

Menurut Noormazura, di Johor Bahru seramai 10,000 orang menggunakan motosikal setiap hari.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment