Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

23 penghuni nyaris rentung

SH:


KEMAMAN – Seramai 23 penghuni sebuah rumah nyaris rentung apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Bandar Cheneh Baru, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, teriakan kuat seorang wanita yang mengarahkan semua ahli keluarganya keluar dari rumah selepas menyedari api sedang marak di rumah yang dihuni bersama 22 ahli keluarga lain berjaya menyedarkan empat keluarga daripada terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

Nazma Hatulisma Dagang, 35, yang terkejut melihat api dari bahagian tengah rumah dipercayai segera berteriak mengarahkan semua penghuni rumah berlari keluar untuk menyelamatkan diri ketika api sedang marak.

Menurutnya, ketika dalam keadaan panik itu, dia segera menarik tangan anaknya yang ketika itu leka bermain di ruang tamu.

“Ketika melihat api semakin marak saya menjerit meminta tolong dan membawa keluar semua anak termasuk beberapa anak saudara keluar dari rumah.

“Pada masa sama, saya sempat memanggil ibu, Aminah Che Ming yang ketika itu berada di rumah jiran sambil cuba membawa keluar sebahagian barangan berharga ke luar rumah,” katanya.

Bagaimanapun. kebanyakan harta termasuk sebuah van dan dokumen penting termasuk pakaian serta kelengkapan persekolahan anak yang diduduki empat keluarga itu gagal diselamatkan.

Ketika kejadian, terdapat 23 penghuni dalam rumah berkenaan daripada empat keluarga termasuk sembilan kanak-kanak. Empat daripada mereka adalah murid sekolah rendah manakala tiga lagi pelajar sekolah menengah.

“Waktu kalut menyelamatkan diri, ahli keluarga dan barang berharga, saya sempat melaung supaya jiran menghubungi Balai Bomba Bandar Cheneh Baru yang terletak hanya beberapa ratus meter dari rumah.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati kami sekeluarga apabila melihat rumah yang diduduki dan menjadi tempat berteduh selama ini musnah dalam sekelip mata,” katanya yang juga anak sulung.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru, Azhar Noh berkata, akibat kebakaran itu kira-kira 90 peratus rumah berkenaan hangus.

“Pihak kami menerima panggilan daripada jiran mangsa kira-kira jam 6.04 petang dan tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian. Api berjaya dikawal daripada merebak ke beberapa buah rumah lain yang kedudukannya agak rapat dengan rumah mangsa itu.

“Seramai 11 anggota dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja memadam api daripada merebak,” katanya.

Azhar berkata, ketika mereka tiba, kira-kira 90 peratus rumah mangsa sudah hangus. Namun, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment