TENTERA Thai memaut antara satu sama lain menahan arus air apabila penghadang air pecah di Bangkok, semalam.
BANGKOK: Ibu kota Thailand berdepan kesukaran mengalihkan air keluar daripada bandar raya itu kerana sistem penyaliran direka menangani banjir disebabkan hujan lebat, bukan aliran besar dari utara, kata bekas pegawai kanan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).Bandar raya itu memperuntukkan kos besar menaik taraf infrastruktur penyaliran selepas banjir besar melanda Bangkok pada tahun 1983. Sejak itu, terusan dan terowong dikorek, kolam tadahan dan stesen pam dibina untuk membantu mengeringkan air.
Sistem itu membabitkan pembinaan tembok panjang di seluruh bandar raya dan air banjir diarahkan ke laut menerusi pam, terusan dan terowong.
Bekas Gabenor Bangkok, Phichit Rattakul, berkata sistem saliran air dibangunkan untuk menangani banjir disebabkan hujan lebat dan aliran dari utara yang secara amnya menuju ke sebelah timur.
Langkah perlindungan utama terhadap aliran air ialah tembok diraja dan empangan Pasak Cholsid di Saraburi di timur laut Bangkok, yang membantu menampung sehingga 800 juta meter padu air.
Baki aliran air itu selalunya mengalir ke sungai Chao Phraya dan sungai Thachin. Bagaimanapun, ada satu lagi aliran air besar menuju ke Bangkok dari utara dan bandar raya itu tidak mempunyai infrastruktur mencukupi untuk mengendalikannya.
Kedatangan satu lagi aliran air itu memerlukan saliran khas untuk ia mengalir di seluruh bandar raya tetapi objek buatan manusia menghalang laluannya. – Agensi
'via Blog this'