Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Wanita mengadu ditipu rakan laman sosial



KOTA BHARU – Seorang kakitangan awam tampil membuat aduan apabila berasa tidak berpuas hati selepas dia mendakwa ditipu seorang rakan yang baru dua minggu dikenali di sebuah laman sosial, Facebook.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah Wong itu mendakwa dirinya diperdaya individu berkenaan berkaitan urusan jual beli iPad keluaran terbaru sebuah syarikat pengedar barangan teknologi terkemuka.

Aisyah berkata, dia mula berkenalan dengan individu berkenaan selepas tertarik dengan tawaran penjualan barang tersebut di akaun lawan sosial individu itu.

Katanya, dia kemudiannya membuat persetujuan jual beli sebelum memasukkan sejumlah wang pendahuluan ke akaun bank individu berkenaan pada 12 Ogos lalu.

“Saya tertarik dengan bayaran ansuran yang ditawarkan kerana hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan kemudiannya barangan itu akan terus dihantar ke rumah.

“Mula-mula saya masuk RM150 selepas itu saya berjanji akan membayar RM50 secara ansuran pada setiap bulan dan dia bersetuju, bagaimanapun barang tidak dihantar sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, berikutan berasa ditipu, Aisyah bertindak membuat laporan di balai polis Kota Bharu pada 18 Ogos lalu.

“Sudah banyak kali saya hantar mesej di laman sesawangnya tetapi pertanyaan saya tidak dijawab dan selepas saya membuat laporan itu, ramai rakan siber dari negeri lain sedar mereka turut ditipu. Ada antara mereka yang sudah membayar RM300 tetapi iPad tidak sampai ke tangan,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment