Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Tiga dituduh godam kad SIM

SHAH ALAM: Dua pelajar lelaki warga asing di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan seorang wanita tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan melakukan penipuan perbankan Internet dengan menggodam kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit rakyat negara ini.
Tertuduh, Rana Adil Hayat, 24, dari Pakistan; Ibrahim Koroma, 27, warga Sierra Leonne dan Adelina Audrey Lesslar, 27, lepasan ijazah komunikasi massa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdayakan Pegawai Perkhidmatan Celcom Blue Cube, Tuzira Safardi, 36, untuk mempercayai mereka adalah Mohammad Zamri Sulong, pemilik berdaftar talian Celcom 019-XXXXXXXX. Perbuatan itu mendorong Tuzira mengeluarkan kad SIM ganti nombor berkenaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Celcom Blue Cube, Subang Parade, Subang Jaya, dekat sini, antara jam 8.15 dan 8.22 malam pada 5 Julai lalu. Ibrahim dan Lesslar turut didakwa atas pertuduhan kedua menipu Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Maxis, Ekhwan Yusof, 22, untuk mempercayai kedua-duanya adalah Joseph Christine Melani, pemilik berdaftar talian Maxis 012-XXXXXXXX. Tindakan itu mendorong Ekhwan menggantikan kad SIM nombor itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Maxis Center Curve, The Curve, Mutiara Damansara, dekat sini, antara jam 9 dan 9.30 pagi pada 20 Ogos lalu.

Bagi setiap pertuduhan, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM25,000 untuk Ibrahim dan Lesslar serta RM10,000 bagi Rana Adil. Bagaimanapun, peguam bela mewakili Rana Adil dan Ibrahim, M Tharuma Ratnam memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mampu. Menurutnya, Ibrahim sukar mendapatkan ahli keluarga menjadi penjamin. Aslam membenarkan Rana Adil dan Ibrahim diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.

Beliau juga memerintahkan kedua-dua warga asing itu melapor diri pada setiap Sabtu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sehingga proses perbicaraan selesai. Manakala, Lesslar pula dikenakan ikat jamin RM17,000 dengan penjamin oleh ibu bapanya. Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 11 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment