Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Terdesak, para pesalah trafik bayar RM9,480



MELAKA 25 Sept. - Hanya dalam tempoh tiga jam operasi mengesan pesalah trafik awal pagi ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya mengutip bayaran saman tertunggak sebanyak RM9,480.
Bayaran itu dikutip secara rela oleh pesalah trafik selepas terdesak untuk membawa pulang kenderaan masing-masing yang ditahan polis.
Sebahagian daripada 120 penunggang motosikal dan 109 pemandu kereta itu dikesan mempunyai saman tertunggak selepas mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lebuh Air Keroh di sini awal pagi ini.
Operasi menggempur pelumba haram secara besar-besaran di Melaka pagi ini adalah yang ketiga dilakukan oleh Unit Khas Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam minggu ini.
Turut sama dalam operasi tersebut, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Johor, Negeri Sembilan, IPD Melaka Tengah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.
Pegawai Unit Khas Cawangan Trafik, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, dalam operasi pukul 2 pagi itu, kesemua penunggang motosikal yang ditahan dibawa ke IPD untuk pemeriksaan.
"Ketika itu, polis turut menahan mana-mana kereta yang melakukan kesalahan seperti mengubah suai kenderaan, cermin gelap dan menggunakan ekzos bising.
"Kesemua 109 pemandu kereta yang ditahan disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan. Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada mereka memiliki 10 waran tangkap dan telah diberi notis untuk hadir ke mahkamah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, sebanyak 25 buah motosikal dan dua kereta telah disita manakala seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk juga ditahan.
Katanya, setiap pemandu yang mempunyai saman tertunggak diminta menyelesaikannya sebelum dapat membawa pulang kenderaan.
Dalam operasi sama JPJ mengeluarkan 16 saman dan telah mengarahkan 84 kenderaan untuk membuat pemeriksaan semula di cawangan JPJ terdekat.

No comments:

Post a Comment