Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Tebuk dinding pecah masuk kedai emas



BESUT – Sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek, bandar Jertih di sini mengalami kerugian lebih kurang RM200,000 apabila dipecah masuk awal pagi hari raya kedua, setelah suspek bertindak menebuk dinding kedai berkenaan.

Suspek dipercayai lebih daripada seorang terlebih dahulu masuk melalui sebuah ruang kedai kosong yang terletak di tingkat satu bangunan kedai tiga tingkat itu sebelum turun melalui tangga sebelah kemudian menebuk dinding untuk ke masuk kedai tersebut.

Pemilik kedai emas yang dikenal sebagai Hishamuddin, 31, memberitahu, dia menyedari kejadian itu apabila dihubungi jirannya pada jam 7.45 pagi kelmarin memberitahu terdengar bunyi seperti orang sedang menebuk dinding di dalam kedainya.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Kubang Depu bergegas ke tempat kejadian kemudian mendapati ada seorang lelaki berada berhampiran kedainya, turut kelihatan sebuah Perodua Myvi.

“Tiba di tempat keja-dian, saya tidak turun dari kenderaan sebaliknya saya ronda beberapa kali dan ternampak dua lagi lelaki keluar dari lorong belakang menghampiri kereta tersebut, bagaimanapun dua lelaki tersebut tidak menaiki kereta berkenaan.

“Melihat keadaan mencurigakan saya hubungi polis, tidak sampai dua minit polis tiba” katanya.

Katanya, mungkin menyedari kehadiran polis, seorang suspek menunggu di kereta itu melarikan diri dan dikejar dua kereta polis termasuk peronda.

Bagaimanapun suspek tidak sempat menebuk bilik kebal dan peti besi tempat menyimpan barang emas.

“Cubaan mereka untuk tebuk bilik kebal gagal. Kalau dalam masa empat hingga lima jam mereka berada di dalam kedai tersebut kemungkinan besar mereka dapat buka bilik kebal dan peti besi.

“Mereka juga merosakkan komputer selain melarikan perakam kamera litar tertutup (CCTV)," katanya yang turut memuji sikap cakna jirannya dan ketangkasan pasukan polis.

Katanya, dipercayai akibat tergesa-gesa menyebabkan suspek tertinggal pelbagai jenis peralatan untuk pecah dinding kedai tersebut termasuk gerudi.

Difahamkan pasu-kan polis yang diketuai Ketua Unit Tindak Cepat (UTC) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Inspektor Mohd Rusdi Roslin berjaya memitas kenderaan suspek berhampiran Jambatan Sungai Besut dekat Seberang Jertih setelah beberapa minit mengejar kenderaan suspek.

Terdahulu sebelum itu, dikatakan suspek telah melarikan diri ke arah Kampung Raja tetapi sebaik tiba di Kampung Nyior Tujuh mereka berpatah balik ke Jertih kemudian menuju ke Pasir Putih.

Suspek berusia sekitar 28 tahun beralamat di Bentong, Pahang ditahan untuk membantu siasa-tan termasuk kemungkinan terlibat dengan kes di tempat lain sebelum ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, polis mencari tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita dipercayai aktif terlibat dalam kes pecah rumah di negeri ini dan di sekitar Lembah Klang kini dicari pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, salah seorang suspek yang berumur 28 tahun dan berasal dari Bentong, Pahang itu berjaya ditahan.

“Pemeriksaan polis mendapati perompak berkenaan hanya berjaya melarikan sebuah bekas berisi serbuk emas dan barangan perak dan suspek juga dikesan guna dua kenderaan berbeza," katanya.
-SH

No comments:

Post a Comment