Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Tak sempat mula tugas baru



BATU BELAH - Impian seorang pengurus memulakan tugas baru di sebuah kilang di daerah ini tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Batu Belah, beberapa meter daripada Tol Bukit Raja, di sini kira-kira jam 12.45 pagi semalam.

Mangsa dikenali P Sivanesan, 44, ketika kejadian dalam perjalanan menghala ke Jalan Kapar menaiki kereta jenis Proton Iswara bersama anak lelaki dan isterinya.

Mangsa yang juga merupakan adik kepada Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Balai Klang Selatan, Sarjan P Thayalan, maut di tempat kejadian, sementara isteri dan anak lelakinya berusia 16 tahun mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Thayalan ketika ditemui memaklumkan, mendiang akan memulakan tugas di tempat baru hari ini dan baru tiba dari Melaka beberapa bulan lalu.

"Sebelum kejadian, dia baru sahaja pulang dari kediaman saya di Berkeley selepas sembahyang di kuil berdekatan rumah sempena Perayaan Tahunan penganut Agama Hindu.

"Kira-kira jam 2 petang, dia sudah tiba di rumah, setelah beberapa jam menghabiskan masa di kuil dan kediaman saya, dia kemudiannya pulang ke rumahnya di Lintang Sungai Keramat, Taman Klang Utama kira-kira jam 12 malam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di bilik mayat HTAR, di sini.

Thayalan berkata, dia hanya mengetahui insiden itu sebaik menerima panggilan daripada isteri mendiang yang memaklumkan mereka terlibat dalam kemalagan.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan terkejut mendapati adik bongsu saya daripada 11 beradik meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, mending tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, malah suka bersembang dan tersenyum seolah-olah tiada apa yang akan berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kemalangan dipercayai berlaku hanya beberapa meter daripada tol apabila sebuah kereta Perodua Alza secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Keadaan itu mengakibatkan rempuhan berlaku menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan.

"Siasatan awal polis juga mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun itu terlebih dahulu merempuh sebuah Perodua Myvi yang berada di hadapan kereta mangsa," katanya.

Zawary berkata, mangsa cedera parah di dada maut di tempat kejadian, sementara isteri, anaknya serta pemandu Myvi cedera ringan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

No comments:

Post a Comment