Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Suami mangsa lif terhempas buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Suami wanita hamil tujuh bulan yang patah kaki kanannya selepas terbabit dalam kejadian lif terhempas di Pusat Beli-belah Selayang Mall dekat sini membuat laporan polis malam tadi.

Noor Fahmi Izwan Othman, 25, membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 11.00.
"Saya membuat laporan polis kerana merasakan berlaku kecuaian di pihak pengurusan pusat beli-belah itu sehingga terjadinya insiden semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, unit pengurusan pusat beli-belah itu, Seal Incorporated Berhad (SIB) ketika dihubungi menafikan laporan sebuah akhbar bahawa kejadian itu berpunca daripada kabel yang putus.

Pengurus Promosinya Desmond Ting berkata:

"Kita sudah memeriksa kabel itu dan ia masih dalam keadaan baik. Bagaimanapun pada masa ini kita sedang menunggu laporan konsultan kita yang lebih pakar untuk mengetahui laporan dan punca sebenar kejadian ini."

Katanya, jika kabel itu putus, orang yang berada dalam lif boleh menerima nasib lebih buruk termasuk cedera parah dan maut.
Beliau berkata, pihak konsultan lif sudah melakukan pemeriksaan terhadap lif berkenaan pada 6 pagi tadi.

Noor Fahmi dan isterinya, Norazlina Mohd Yusoff, 25, bersama enam lagi anggota keluarganya serta beberapa individu lain sedang menaiki lif itu untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah bila nahas itu berlaku pada kira-kira 5.00 petang.

Ketika itu, lif berkenaan berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang lain sebelum tiba-tiba berhenti di tingkat 'G' tanpa pintu terbuka.

Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah.

Ketua Polis IPD Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kejadian itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment