Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Sikap buruk punca utama



KUALA TERENGGANU – Sikap dan tabiat memandu yang buruk faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, berdasarkan Ops Sikap pada tahun 2009 dan 2010 sempena Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, ia berdasarkan rekod pihaknya iaitu kebanyakan kesalahan jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian sepanjang Ops Sikap yang lalu adalah kesalahan membuat U-Turn, tayar meletup, memotong di kawasan selekoh, terbabas, salah masuk laluan dan cuai.

Menurutnya, semua punca kemalangan itu sebenarnya boleh dibendung sekiranya pemandu mengamalkan pemanduan berhemah dan mengikuti segala nasihat dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sebenarnya, kebanyakan pemandu sudah sedia maklum tetapi ada segelintir yang masih mengamalkan sikap acuh tak acuh dan ‘tidak apa’ sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.

“Ia terbukti apabila kawasan yang kita letakkan pondok polis statik dan rondaan MPV, pemandu akan lebih berhati-hati dan jarang berlaku kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di pejabatnya.

Apa yang menggerunkannya, berdasarkan perangkaan Ops Sikap sebelum ini, kemalangan biasanya berlaku pada minggu kedua ops itu, khususnya di jalan persekutuan.

Kata beliau, sepanjang Ops Sikap tahun lalu, sebanyak 612 kes kemalangan direkodkan, dan kebanyakan kemalangan berlaku di jalan persekutuan, iaitu sebanyak 330 kes manakala jalan bandaran pula 126 kes, diikuti jalan negeri sebanyak 93 kes, sembilan kes berlaku di lebuh raya dan selebihnya di jalan kampung.

“Sepanjang Ops Sikap ke-22 pada tahun lalu, sebanyak 12 kes kemalangan maut berlaku, menurun daripada Ops Sikap ke-20 pada 2009, iaitu sebanyak 24 kes. Jumlah kematian yang dicatatkan pula sebanyak 14 kes pada tahun 2010, berbanding 26 kes pada 2009,” katanya.

Ketika ditanya usaha yang dibuat oleh Polis Terengganu khususnya, dalam menangani masalah ini dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan, Alias berkata, banyak pendekatan yang diambil.

Antaranya, meningkatkan kehadiran polis di kawasan strategik dan rondaan berterusan oleh anggota polis MPV dan pemantauan dari masa ke masa.

“Kita juga membuat langkah pencegahan dengan mengeluarkan saman kepada pemandu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Malah, sepanjang Ops Sikap tahun lalu, sebanyak 7,120 saman telah kita keluarkan, meningkat dari 2009 iaitu sebanyak 5,281 saman. Antara kesalahan yang banyak dicatatkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar, pecut (saman ekor), memotong garisan berkembar dan barisan,” katanya.

Bagi operasi sempena Aidilfitri kali ini, Polis Terengganu telah mengerahkan 170 anggota trafik dan tugas awam untuk bertugas serta membuat pemantauan di kawasan panas seluruh negeri.

Lima jalan maut

Terdapat beberapa jalan hitam yang dikenal sebagai jalan maut di negeri ini yang dikenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan menjadi ‘igauan ngeri’ bagi ramai pemandu.

Jalan dimaksudkan ialah di Jalan Kilometer (KM) 58, Jalan Jerangau-Jabor; Jalan KM 61, Jalan Marang-Dungun dan Jalan KM 54, Jalan Sungai Tong-Permaisuri.

Menurut Alias, Jalan Jerangau-Jabor misalnya, agak sibuk pada waktu tertentu, terutamanya pada waktu petang kerana banyak lori menggunakan laluan itu manakala pada waktu malam, keadaan di situ gelap.

“Pemandu kena lebih berhati-hati kerana selain keadaan gelap, bahu jalannya kecil dan berbahaya kepada kenderaan, terutamanya yang berhenti kerana kecemasan,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat tujuh perbuatan yang boleh menyebabkan kemalangan maut, iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan memandu secara bahaya (menggunakan telefon bimbit).

“Sepanjang musim perayaan, saya harap orang ramai, khususnya pemandu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan di jalan raya.

“Pastikan kenderaan, khususnya bahagian mekanikal telah diperiksa dan dihantar servis, mengamalkan pemanduan berhemah dengan mengikut ara-han dan peraturan jalan raya serta jaga kesihatan diri, berhenti sekiranya mengantuk,” katanya lagi.

Solat Safar sebelum mula perjalanan

Masyarakat khususnya orang Islam digalakkan untuk mengamalkan amalan sunah sebelum memulakan perjalanan.

Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, bagi mereka yang bermusafir misalnya, sangat digalakkan untuk melaksanakan solat Safar dua rakaat agar perjalanan yang akan dilalui dipermudahkan oleh-Nya.

Menurutnya, amalan itu agak jarang dilakukan, sedangkan ia sebenarnya adalah salah satu ikhtiar sebagai orang Islam supaya perjalanan yang dilalui diberkati dan dilindungi Allah SWT.

“Seharusnya, setiap amalan kita bersandarkan agama dan ia tidak terhad apabila kita ditimpa kesusahan sahaja. Sebab itu dalam segala hal, ia harus berlandaskan agama,” katanya.

Selain itu katanya, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku.

Katanya, pemandu khususnya perlu bertimbang rasa sewaktu berada di jalan raya dan melihat kesusahan orang lain sebelum melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa musibah kepada orang lain.

Bagi mereka yang kehilangan keluarga akibat musibah pula, Aizi berpesan, sebagai umat Islam, perlu redha dengan ketentuan Ilahi dan tidak perlu meratapi pemergian orang yang tersayang, sebaliknya mendoakan agar mereka sentiasa dalam lindungan rahmat-Nya.SH

No comments:

Post a Comment