Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Rumah rosak akibat ribut



KUALA KRAI - Sebuah rumah didiami pasangan suami isteri warga emas di Kampung Telekong, rosak selepas ribut melanda kampung itu, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 4.30 petang, rumah Daud Salleh, 79, dan Minah Mat Sah, 76, rosak teruk di bahagian dapur apabila zink serta kayu bumbungnya diterbangkan angin kencang.

Ketika kejadian, Daud baru beredar dari dapur menuju ke ruang tamu untuk bersama Minah dan lima anak serta cucu mereka yang pulang berhari raya sempena Aidilfitri.

Minah berkata, dia dan ahli keluarganya tidak menyedari kejadian itu kerana pintu antara dapur dan ruang tamu ditutup selain bunyi deruan angin kencang.

“Kami hanya tahu bumbung dapur diterbangkan angin selepas dimaklumkan seorang jiran yang ternampak kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telekong, semalam.

Minah berkata, angin kencang menyebabkan sebahagian bumbung dapur bersama struktur kayunya tercabut dan diterbangkan kira-kira 10 meter sebelum jatuh di tepi rumah.

Katanya, angin kencang diiringi hujan lebat itu turut menerbangkan sebahagian kecil zink genting rumahnya dan menyebabkan bahagian ruang tamu dibasahi air hujan.

“Saya harap ada pihak sudi membantu kami membaiki kerosakan ini kerana kalau nak baiki sendiri, memang kami tak mampu,” katanya yang bergantung kepada bantuan anak bagi sara hidup bersama suami.

Minah berkata, mereka berdua tidak bekerja kerana dia mengalami sakit tulang punggung manakala suaminya pula ada masalah pendengaran selain menghidap angin pasang dan pernah menjalani pembedahan.

“Nak harapkan duit belanja anak-anak, berapa sangat mereka mampu beri kerana masing-masing berkeluarga dan ada tanggungan sendiri,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment