Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Ribut landa 3 keluarga



RANTAU PANJANG – Kegembiraan tiga buah keluarga menyambut Aidilfitri kedua hanya seketika apabila ribut yang melanda Kampung Lubok Setol kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, sebuah rumah rosak apabila bumbung diterbangkan angin sementara dua lagi termasuk sebuah kedai makan dihempap pokok besar berusia lebih 15 tahun yang terletak di hadapan rumah mereka.

Pokok tumbang bukan sahaja merosakkan kediaman dan kedai terbabit, malah jalan turut tidak dapat dilalui menyebabkan satu lencongan sementara dibuat melalui jalan belakang Balai Polis Lubok Setol sebelum Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang mengalihkan pokok tumbang tersebut.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM18,000 berikutan kerosakan bahagian hadapan rumah serta kerosakan sebuah kereta serta motosikal yang baru sahaja dibeli kira-kira sebulan lalu.

Salah seorang mangsa, Mohd Shukri Abdul Rahman, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan baru hendak keluar mengalihkan kereta anaknya yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu yang diletakkan di hadapan rumahnya.

Menurutnya, sebaik sahaja melangkah ke arah pintu rumahnya, pokok tumbang sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Ketika kejadian saya berada di rumah bersama anak lelaki, Mohd Rosdi,30, sementara anak-anak dan isteri tiada di rumah.

“Selepas pokok tumbang, saya terpaksa keluar ikut pintu belakang rumah untuk melihat keadaan kereta dan keadaan di luar rumah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, bahagian bumbung kereta anaknya rosak teruk dan motosikal yang baru sahaja dibelinya juga perlu dibaiki.SH

No comments:

Post a Comment