Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Remaja maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjata parang

IPOH: Seorang remaja maut selepas ditetak sekumpulan lelaki di kawasan perusahaan Menglembu di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa K Pirathibaraj, 19, dari Taman Buntung di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Katanya, dalam kejadian 8 malam tadi itu, mangsa yang menunggang motosikal dikejar oleh sekumpulan lapan lelaki yang menaiki empat motosikal berhampiran simpang empat lampu isyarat Falim, Menglembu.
"Mangsa kemudian dikepung dan kumpulan lelaki itu menyerang dengan menetak di kepala dan badan dengan parang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melarikan diri selepas mangsa terbaring di atas jalan manakala polis yang menjalankan siasatan ke tempat kejadian menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan oleh kumpulan berkenaan.

"Motif kejadian belum diketahui dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah bahawa siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai kes jenayah sebelum ini.

Polis melancarkan gerakan memburu kumpulan berkenaan dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment