Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Polis tahan dua lelaki kes tipu guna surat palsu MB



IPOH - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang guru kanan berhubung kes penipuan berjumlah RM40,000 yang membabitkan pengeluaran surat sokongan palsu menggunakan cop Menteri Besar Perak, kata Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan.

Beliau berkata selain guru berusia 45 tahun, seorang lagi yang diberkas ialah seorang kontraktor berumur 47 tahun.

Polis turut merampas tiga "cop" yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat Menteri Besar Perak serta beberapa dokumen yang berkaitan dengan permohonan projek di Perak, katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Shukri berkata polis menerima dua aduan kes penipuan berkenaan pada Ogos lepas dan dengan penangkapan dua lelaki itu awal bulan ini, polis yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata guru kanan berkenaan bertugas di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Katanya, kes penipuan berkenaan membabitkan surat sokongan palsu berkaitan permohonan perusahaan pembalakan dan permohonan pelepasan dan penjualan lot kuota bumiputera dalam projek perumahan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan cop rasmi pejabat menteri besar untuk mengeluarkan surat sokongan palsu.

"Saya tidak akan bertolak ansur kerana hal ini membabitkan hal pentadbiran kerajaan negeri kerana perbuatan sebegini dilakukan, mana-mana kerajaan sekalipun akan menghadapi keruntuhan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab" katanya selepas merasmikan Hari Peladang Peringkat Daerah di
Teluk Intan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana sudah mengenal pasti terhadap individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.

Zambry berkata beliau sebelum ini pernah terkejut apabila ada orang yang berjumpa dan menunjukkan surat sokongan dari pejabat Menteri Besar sedangkan beliau sendiri tidak mengeluarkan apa-apa surat sokongan kepada individu yang menemuinya.

Beliau menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang mendakwa boleh memberi surat sokongan yang mempunyai cop rasmi pejabat Menteri Besar. - Bernama

No comments:

Post a Comment