Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Pesawat Buddha Air terhempas, 19 terkorban



KATHMANDU 25 Sept. - Seramai 19 penumpang dan anak kapal terkorban apabila sebuah pesawat Buddha Air terhempas di kaki gunung berhampiran Kathmandu, semalam.
Pesawat Beechcraft itu yang membawa 10 penumpang warga India, tiga pelancong asing, tiga warga tempatan dan tiga anak kapal warga Nepal terhempas ketika hujan lebat dan dalam keadaan berkabus di Godavari, kira-kira 10 kilometer dari Kathmandu.
"Pesawat Buddha Air-103 itu terhempas di Gunung Kotdada ketika dalam perjalanan balik dari menyaksikan keindahan Gunung Everest," kata Ketua Bahagian Penyelamat di Lapangan Terbang Antarbangsa Tribhuwan, Bimlesh Lal Karna, sambil menambah kata bahawa usaha menyelamat sukar dijalankan ekoran hujan lebat.
Pihak lapangan terbang terputus hubungan dengan pesawat tersebut pada kira-kira pukul 9.33 pagi waktu Malaysia dan terhempas empat minit kemudian.
Syarikat penerbangan persendirian itu tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan lanjut.
Buddha Air menawarkan pakej Everest Experience yang membawa pelancong menyaksikan keindahan gunung tertinggi di dunia itu serta keadaan di sekitar puncak.
Dalam laman webnya, Buddha Air menyifatkan pesawat Beechcraft sebagai pesawat paling selamat dalam operasi penerbangan domestik. - AFP

No comments:

Post a Comment