Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Penyeludup rokok kecundang



ALOR GAJAH - Tindakan pantas sepasukan anggota Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM 5, berpengkalan di Kuala Linggi, berjaya menumpaskan sebuah bot pancung yang cuba menyeludup masuk rokok haram di persisiran pantai berhampiran Perkampungan Portugis, Banda Hilir, awal pagi kelmarin.

Dalam operasi khas APMM kira-kira jam 2.05 pagi itu, seramai 12 anggota APMM termasuk dua pegawai bertugas dalam operasi terbabit yang dijalankan di perairan Selat Melaka menerima maklumat berhubung sebuah bot pancung mencurigakan di tengah perairan.

Ketua Operasi APMM, Leftenan Komander Maritim Mohd Suhairy Hussin berkata, sebanyak 2,700 karton rokok pelbagai jenis berjaya dirampas termasuk sebuah bot pancung dan enjin digunakan untuk memuatkan sejumlah rokok jenis Gudang Garam Surya, Semporna dan Dji Sam Soe.

Menurutnya, dalam operasi khas ini, bot peronda APMM berjaya mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di perairan tersebut sebelum mendekati dan melakukan tindakan pantas menuju laju ke arah bot berkenaan.

“Kedua-dua mereka dipercayai dari Bengkalis, Indonesia dikesan di perairan Pulau Undan menuju ke Persatuan Nelayan Kampung Nelayan Sungai Duyung.

“Bot pancung membawa muatan rokok pelbagai jenis itu dikesan dari Pulau Undan ketika berada di Pulau Panjang sebelum dua bot APMM iaitu Petir 84 dan Kilat 45 dengan kekuatan 12 anggota termasuk dua pegawai mengambil langkah mengepung dan memintas bot terbabit,” katanya.

Mohd Suhairy berkata, tembakan cahaya turut dilepaskan bagi menghalang bot berkenaan dari terus mara, namun kedegilan mereka terus menuju ke persisiran pantai hampir merempuh dua sampan nelayan yang sedang menjaring ikan serta dua nelayan yang berada di persisiran pantai mencari udang geragau.

“Setelah hampir kira-kira 15 minit berlaku aksi mengejar, anggota kami berjaya menemukan sebuah bot pancung yang ditinggalkan di tepi pantai dekat situ dan tekong serta awak-awak terbabit dipercayai melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Setelah diperiksa, bot pancung tersebut membawa sejumlah 2,700 karton berisi rokok kretek pelbagai jenis dengan nilai serta cukai dianggarkan sebanyak RM160,000 dan keseluruhannya bernilai RM220,000 termasuk bot dan enjin,” katanya.

Katanya, ketika bot itu ditemui, kesemua rokok yang diletakkan di dalam guni tadi ditutupi dengan hamparan plastik hitam dan kanvas di atasnya bagi mengaburi mata anggota operasi, malah terdapat dua lagi bot lain pada malam itu dipercayai menghala ke selatan.

“Operasi dan pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mematahkan kegiatan penyeludupan keluar dan masuk pelbagai kesalahan lain dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya ditemui selepas tamat operasi.

No comments:

Post a Comment