Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Pencuci kereta dihukum mati



GEORGETOWN - Suasana tenang di Mahkamah Tinggi di sini bertukar hiba apabila ahli keluarga seorang pencuci kereta tidak mampu menahan kesedihan setelah tertuduh dihukum gantung kerana mengedar dadah seberat 124.81 gram jenis heroin dan monoacetylmorphines, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu semalam setelah berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di peringkat pembelaan terhadap Prabakaran Peraisamy,29.

Pada mulanya, ahli keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam nampak tenang tetapi masing-masing menangis teresak-esak sebaik sahaja hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, Zamani berkata, keterangan tertuduh ketika membela diri hanyalah penafian semata-mata dan keterangan ‘after thought’ bukan satu pembelaan yang baik.

Jelasnya, keterangan Prabakaran yang mendakwa sampul surat berisi heroin dan monoacetylmorphines itu kononnya milik orang lain yang dipercayai mengandung cip komputer juga tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai kerana kerana saksi pendakwaan memberitahu, tertuduh sentiasa memegang sampul tersebut.

Dalam pembelaannya sebelum ini, Prabakaran mendakwa hanya menolong kawan untuk menerima sampul surat kononnya mengandungi cip komputer tanpa mengetahui kandungan sebenar sampul yang diterima daripada seorang lelaki bernama Chan untuk diserahkan kepada Ravi. Sampul itu dikatakan akan diambil oleh Ravi daripadanya.

Prabakaran juga menyatakan, sebelum ini dia pernah menerima plastik mengandungi cip komputer daripada Chan untuk diserahkan kepada Ravi. Namun kali ini, dia dia tidak sempat melihat isi kandungan sampul surat itu.

Zamani berkata, mahkamah mendapati cerita pembelaan tidak pernah dikemukakan kepada saksi pendakwaan yang dipercayai merupakan satu rekaan ‘after thought’ yang tidak ada sebarang asas.

“Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh,” katanya.

Terdahulu, Prabakaran disabitkan bersama dua orang yang masih bebas mengedar dadah seberat 124.81 gram iaitu 17.83 gram heroin dan 106.98 gram monoacetylmorphines.

Kesalahan itu dilakukan oleh Prabakaran di Jalan Besar Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, kira-kira jam 8.10 malam, 22 Oktober 2009.

Timbalan Pendakwa Raya, Umma Devi Loganathan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akata yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Prabakaran ditangkap sewaktu berurusan dengan polis yang menyamar sebagai ejen bagi urusan jual beli dadah di sebuah bengkel cuci kereta di Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

No comments:

Post a Comment