Search This Blog

Monday, September 26, 2011

Pemain mesin judi boleh dipenjara






POLIS menunjukkan sebahagian daripada peralatan untuk permainan judi yang dirampas daripada beberapa individu semasa sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 25 Sept. - Bagi membendung kegiatan perjudian di premis kafe siber daripada berleluasa di negeri ini, selain penganjur dan penjaga premis, polis akan turut mengheret para pemain ke muka pengadilan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Katanya, di bawah peruntukan undang-undang itu, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.
"Sebelum ini, hanya penganjur dan penjaga premis sahaja didakwa manakala mereka yang bermain mesin judi pula dibebaskan selepas kenyataan diambil. Mereka diperlukan sebagai saksi dalam kes itu.
"Namun kini polis akan usahakan supaya pemain mesin judi di kafe siber juga akan turut didakwa seperti mana yang dibuat kepada pemain judi di tempat terbuka.
"Peruntukan undang-undang itu memang sudah sedia ada, cuma kita belum laksanakannya lagi," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahrudin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayub berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi 'panas' aktiviti perjudian di negeri ini dan telah menjalankan operasi bagi membanteras gejala itu.
Katanya, operasi berterusan itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Tumpuan utama adalah lokasi-lokasi di tiga daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Jaya Tengah (SPT) dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian sering dijalankan.
"Kita juga turut menjalankan operasi di lokasi-lokasi yang pernah diserbu kerana aktiviti berkenaan masih dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, menurut Ayub, terdapat peningkatan dari segi rampasan mesin judi yang direkodkan pihaknya antara Januari dan Ogos lalu berbanding tempoh yang sama pada 2010.
"Tahun ini, sebanyak 6,416 set mesin judi dirampas berbanding 1,976 set pada tahun lalu. Kita juga menahan seramai 631 orang tahun ini berbanding 271 orang tahun lalu" ujarnya.

No comments:

Post a Comment