Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Padah kebas duit mertua



KUANTAN - Seorang penganggur menerima padah selepas dijatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan 31 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, kelmarin.

Tertuduh, Syed Mohd Badli Shah Syed Hamzah, 31, dari Kampung Sungai Karang Pantai menghadapi 10 pertuduhan iaitu mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik bakal ibu mentuanya dan membuat pengeluaran keseluruhan, RM12,0000.

Di Mahkamah Majistret Khas Trafik, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan dengan curang menggunakan kad ATM Maybank milik Ramlah Ali, 55, dari Bandar Indera Mahkota, untuk kegunaan sendiri tanpa mendapat kebenaran dan membuat tiga pengeluaran berturut-turut berjumlah RM4,000 di premis bank itu di Jalan Beserah, di sini, kira-kira jam 5.22 petang pada 31 Julai lalu.

Lelaki itu mengaku bersalah di depan Majistret Rini Triany Muhamad Ali sebelum dikenakan hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Manakala di Mahkamah Majistret 1 pula, dia dituduh melakukan tujuh kesalahan sama dengan membuat pengeluaran kesemuanya berjumlah RM8,000 pada 30 Julai hingga 2 Ogos lalu di premis Maybank berasingan di sekitar pusat bandar.

Tertuduh mengaku bersalah bagi setiap dakwaan terbabit di depan Majistret Nordiana Abdul Aziz yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan empat sebatan bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua sehingga ke-7, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Abdul Halim Hamad, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan serta denda.

No comments:

Post a Comment