Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Ombak luar biasa ragut nyawa



BALIK PULAU - Tanda tanya seorang bapa yang pelik dengan kelakuan anaknya sejak beberapa hari lepas akhirnya berjawab apabila anaknya itu pergi meninggalkannya buat selama-lamanya apabila lemas ketika sedang leka bermandi di Pantai Pasir Panjang dekat sini, semalam.

Jurutera, Ahmad Nasser Osman, 42, berkata, kelakuan anaknya yang sering mencium pipi dan memeluknya itu dirasakan satu kelainan berikutan anaknya tidak pernah berbuat demikian namun hanya mendiamkan diri kerana menganggap itu perkara biasa bagi seorang anak yang manja seperti anaknya itu.

“Saya tidak menyangka kejadian seperti ini akan berlaku berikutan kelakuan anak saya sejak kebelakangan ini agak pelik kerana dia kerap memeluk dan mencium pipi saya, mungkin dia dapat merasakan yang dia akan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui media di Hospital Balik Pulau (HBP), semalam.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga yang tiba di pantai itu kira-kira jam 9 pagi pada mulanya sudah merasakan seperti ada yang ‘tidak kena’ apabila melihat keadaan ombak yang agak luar biasa namun tidak menyangka kejadian buruk akan menimpa ke atas keluarganya itu.

“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat keadaan ombak yang agak besar dan tinggi kira-kira satu meter namun membiarkannya sahaja berikutan memikirkan tiada apa yang akan berlaku kerana niat kami hanya mahu bergembira apabila dapat berkumpul bersama 10 ahli keluarga yang lain bagi menyambut hari raya bersama-sama dengan berkelah di sini namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya reda dengan kejadian yang menimpa ke atas keluarga saya yang mana anak kesayangan serta adik saya pergi buat selama-lamanya dalam kejadian yang tidak diingini ini,” katanya.

Ahli perniagaan, Abdul Razak Osman, 32, serta anak saudaranya, Abdullah Mukmin Ahmad Nasser, 12, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital apabila lemas ketika bersama keluarga mereka berkelah di Pantai Pasir Panjang pagi semalam.

Ahmad Nasser berkata, ketika kejadian dia bersama dua mangsa serta abangnya, Abdul Lateh Osman, 43, mandi bersama yang mana air ketika itu hanya paras buku lali namun keadaan air bertukar menjadi luar biasa apabila ombak besar tiba-tiba melanda di kawasan pantai itu.

“Ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan Abdullah hanyut dan adik saya cuba menyelamatkannya. Saya dan abang juga berusaha menyelamatkan mereka namun ombak ketika itu sangat besar menyebabkan kami tidak dapat berbuat demikian.

“Dalam beberapa minit, mereka hilang dari pandangan ditelan ombak. Kedua-duanya dihanyutkan ombak besar dan akhirnya mereka diselamatkan oleh anggota bomba dan nelayan namun Tuhan lebih menyayangi mereka apabila disahkan meninggal dunia di HBP,” katanya.

Abdul Razak dibawa naik ke darat kira-kira jam 11.10 pagi sementara Abdullah 20 minit kemudian dengan jarak kira-kira 100 meter dari pantai yang mana anggota bomba dan nelayan turut serta dalam operasi menyelamat.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin mengesahkan bedah siasat menunjukkan kedua-dua mangsa mati akibat lemas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad hadir di HBP dan menyumbang RM1,000 kepada keluarga mangsa.SH

No comments:

Post a Comment